Wednesday, July 22, 2009

KUASA LEDAKAN PAMER KEHEBATAN TDM


DENTUMAN kuat demi dentuman ibarat halilintar, memecah keheningan pagi sekitar kawasan Gemas, Negeri Sembilan, baru-baru ini sememangnya mengejutkan penduduk.

Letupan-letupan itu bersilih ganti menggegarkan bumi, tembakan tanpa henti dilepaskan bagi memastikan pasukan musuh yang kini melarikan diri, benar-benar dapat dilumpuhkan sepenuhnya.

Apa yang berlaku sebenarnya ialah sebahagian daripada pertunjukan dipamerkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semasa Demonstrasi Kuasa Tembakan 2009 di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan.

Nyata demonstrasi yang diadakan itu memperlihatkan kehebatan dan juga ketangkasan Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam mempamerkan persenjataan yang cukup digeruni oleh lawan.

Boleh dikatakan pada hari berkenaan, TDM menunjukkan hampir kesemua aset tempur miliknya dalam demonstrasi selama setengah hari itu.

Demonstrasi

Demonstrasi yang bermula pukul 8.30 pagi itu turut diserikan dengan keberangkatan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang juga Kolonel Yang Dipertua Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Antara aset dan persenjataan yang mendapat perhatian sepanjang demonstrasi itu termasuklah peluru berpandu jenis Eryx buatan Eropah yang digunakan sebagai peledak anti kereta kebal dan digunakan dalam jarak 600 meter, selain Metis M, Bakhtar Shikan untuk menunjukkan kuasa tembakan.

Turut dipamerkan kehebatan termasuklah kereta kebal pengangkut jenis Condor 20mm Oelikon yang mampu membawa lapan anggota pada satu-satu masa ketika operasi.

Aset Kor Armor Diraja itu juga pernah mendapat pengiktirafan besar ketika berkhidmat di Lebanon di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Selain itu, turut menghangatkan suasana pagi itu termasuklah kemunculan kereta kebal Pendekar (PT-91M) buatan Poland dengan mempamerkan aksi membedil sasaran.

Diterima sepenuhnya pada 16 April lalu, PT-91M ini dilengkapkan dengan kuasa tembakan, daya mobiliti dan perlindungan terbaik kepada krew, selain direka bentuk dengan kadar graviti dan 'silhouette' yang rendah bagi mengurangkan pengesanan pihak musuh.

Turut mengambil tempat pada demonstrasi berkenaan ialah dua pesawat pejuang jenis Sukhoi SU-30MKM dan juga empat pesawat Hawk yang berlegar-legar di ruang angkasa dengan pelbagai formasi sebelum membedil kawasan sasaran.

Diperbaharui

Sungguhpun ada kekurangan dari aspek persenjataan dan aset yang perlu dinaik taraf, namun ia tidak melemahkan semangat semua batalion anggota TDM dalam mempamerkan aset mereka untuk dipertontonkan.

Perkara itu mendapat perhatian dari Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mahu semua aset dan juga persenjataan sedia ada perlu dinaik taraf, sungguhpun negara kini terus merasai tempias kegawatan ekonomi global.

Tambahnya, dalam soal seperti ini, ketiga-tiga sayap ATM perlu diberi perhatian oleh kerana kebanyakan aset serta persenjataan dilihat telah terlalu tua untuk berkhidmat bagi mempertahankan negara.

Lantaran itu, beliau menjelaskan, pemilikan persenjataan baru itu wajar diambil kira bagi memastikan semua aset milik ATM sentiasa memenuhi tuntutan semasa bagi ketiga-tiga pasukan tersebut.

"Sebagai contoh ada kapal-kapal dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang telah berusia 32 tahun dan kebanyakan berusia 25 tahun tetapi ia terus digunakan bagi menjaga perairan negara.

"Manakala Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula, walaupun mereka menerima aset terkini tetapi ia tak mencukupi apabila beberapa aset terdahulu dari segi teknologinya tidak relevan maka perlu ada penggantian," katanya.

Hasil demonstrasi

Melihatkan aset dan persenjataan itu, Ahmad Zahid juga menjelaskan demonstrasi ini mampu menunjukkan ATM mampu bersaing selain merancang dengan baik serta diuji keberkesanannya.

"Menerusi demonstrasi ini, kita mahu tunjukkan bahawa persenjataan ATM jika dirancang dan digunakan dengan betul, mampu menghasilkan kuasa pemusnah yang dikehendaki dan menghalang sebarang ancaman musuh pada negara.

"Saya percaya demonstrasi ini berjalan dengan lancar dan berharap agar keadaan sama juga berlaku jika kita berdepan dengan ancaman atau situasi cemas," tegasnya.

Secara keseluruhannya, ATM dilihat berjaya membuktikan bahawa angkatan itu merupakan sebuah pasukan yang berupaya mempertahankan Malaysia dan membuatkan musuh berfikir dua kali sebelum berhasrat menyerang negara ini.

ATASE PERTAHANAN DIPERLUKAN DI LEBANON?

BEIRUT 21 Julai - Kerajaan akan mengkaji keperluan meletakkan seorang Atase Pertahanan di sini untuk melancarkan penugasan Kontinjen Malaysia (Malcon) bagi misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (UNIFIL).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (gambar) berkata, sekiranya perlu, beliau akan membentangkannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat.

Menurutnya, ini kerana khidmat pasukan pengaman negara yang berada di Lebanon sejak 2006 mungkin perlu dipanjangkan kerana ketidaktentuan politik di sini.

''Bagaimanapun buat masa ini saya tidak melihat keperluan jawatan itu tetapi bersedia membincangkannya sekiranya perlu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada kumpulan wartawan Malaysia sempena mengakhiri lawatan kerjanya di sini hari ini.

Hadir sama Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin dan Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Allatif Mohamed Noor.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid menegaskan, beliau yakin dengan kecekapan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di sini.

''Saya juga ingin meminta ahli keluarga mereka di tanah air mendoakan kesejahteraan dan keselamatan mereka di sini," katanya.

MALCON UNIFIL PENUHI PETUNJUK PRESTASI UTAMA PBB

TYRE, LEBANON 19 Julai - Kontinjen Malaysia (Malcon) bagi misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (Unifil) berjaya memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan oleh badan dunia itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penugasan mereka amat membanggakan dan diterima baik masyarakat setempat sekali gus memenuhi KPI tersebut.

Katanya, perkara itu diakui sendiri oleh Komander Unifil, Mejar Jeneral Claudio Grazio dari Itali, semasa bertemu dengannya di ibu pejabat misi tersebut di Naqoura, dekat sini hari ini.

Selain penerimaan penduduk di kawasan selatan dan timur Lebanon, menurutnya, penugasan Malcon juga diiktiraf oleh pasukan-pasukan pengaman negara lain kerana kerana warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berupaya memahami budaya masyarakat antarabangsa.

''Tiga bulan sebelum warga ATM menyertai Unifil, mereka telah dipersiapkan dengan teknik dan taktik ketenteraan serta kaedah komunikasi berkesan dengan masyarakat antarabangsa," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Kata beliau, atas sebab itu, PBB terus meminta bantuan Malaysia untuk menjalankan misi berkenaan.

Ujarnya, selain meneruskan misi itu, kedua-dua pihak turut bersetuju menambah bilangan anggota serta pegawai ATM ke Unifil bagi mencapai taraf batalion sedikit masa lagi.

''Contohnya, walaupun kita berfahaman Sunnah, masyarakat Lebanon yang kebanyakannya berfahaman Syiah tetap dapat menerima kita dengan baik," katanya.

Sementara itu, Grazio berkata, dalam setiap misi pengaman, anggota dan pegawai terlibat perlu menguasai taktik ketenteraan serta menjalankan hubungan baik dengan masyarakat setempat.

''Kedua-dua keupayaan itu dipamerkan dengan baik oleh pasukan Malcon. Bagi anggota ATM yang bakal menyertai misi ini nanti, saya harap mereka akan kekalkan prestasi sedemikian," tegasnya.

TERLALU AWAL KAITKAN NORDIN MAT TOP

TYRE, LEBANON 18 Julai - Kementerian Pertahanan masih belum dapat memastikan penglibatan ketua militan rakyat Malaysia di Indonesia, Nordin Mat Top dalam pengeboman dua hotel di Jakarta kelmarin.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia tidak pernah sesekali bersetuju dengan keganasan dan sentiasa sedia bekerjasama dengan Indonesia dalam menangani masalah tersebut jika diperlukan.

Beliau juga menegaskan, dakwaan tersebut dibuat terlalu awal dan satu siasatan menyeluruh perlu dilakukan sebelum dapat disahkan.

“Jika ia merupakan perbuatan individu yang kebetulan datang dari Malaysia, ia tiada kena-mengena dengan apa-apa dasar kerajaan kita.

“Kita sentiasa sedia bekerjasama dengan Indonesia dan pihak keselamatan antarabangsa bagi menentukan individu dan kumpulan bertanggungjawab tidak terlepas daripada undang-undang,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada sekumpulan wartawan Malaysia sewaktu melawat kontinjen negara di Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (UNIFIL) di At Tiri, dekat sini hari ini.

ZAHID TIDAK JUMPA NETANYAHU

KUALA LUMPUR 18 Julai - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah menemui Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Pertunjukan Udara Paris, Perancis pada Jun lalu seperti dilaporkan media tempatan hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pegawai khasnya, Halim Majid, Ahmad Zahid hanya menemui Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak semasa majlis koktel di pertunjukan udara tersebut.

Semalam, Ahmad Zahid dilaporkan mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Israel bagi menjelaskan pendirian Malaysia berhubung isu di Asia Barat.

Laporan itu menyebut kononnya pertemuan tersebut adalah permintaan Netanyahu dan beliau adalah satu-satunya Menteri Pertahanan yang ditemuinya.

Tuesday, June 9, 2009

ATM PERLU GANTI ASET SUDAH CAPAI TEMPOH MATANG

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sudah mencapai tempoh matang digantikan.

Beliau berkata, penggantian aset itu bagi memastikan penggunaannya bersesuaian dengan perubahan teknologi ketenteraan semasa.

"Kita dapati beberapa aset ATM sudah digunakan pada tempoh yang agak lama dan perlu dinaik taraf atau digantikan dengan peralatan baru.

"Untuk itu, saya akan mengusulkan cadangan agar satu peruntukan khas untuk membangun dan memodenkan aset ATM dapat diwujudkan khususnya dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bas Khas kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) untuk ATM di sini hari ini.

Turut hadir timbalannya, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dan Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor.

Bas yang disumbangkan oleh Kumpulan Boustead Holdings Berhad itu mempunyai kapasiti 25 penumpang serta dilengkapi dengan ruang tambahan untuk kerusi roda di samping mempunyai kemudahan audio visual.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberitahu, LTAT perlu mencari pendekatan terbaik bagi memacu ekonomi negara khususnya dalam industri pertahanan nasional.

"Kita amat yakin dengan pencapaian LTAT setakat ini dan berharap dapat meneruskan prestasi tersebut walaupun dalam keadaan ekonomi yang kurang baik," katanya.

PELATIH PLKN IKUTI MODUL BARU 2010

Mulai tahun depan, pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan mengikuti modul kokurikulum baru yang menerapkan lebih banyak elemen kerohanian, emosi dan kecerdikan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penerapan elemen itu bertujuan memastikan lepasan PLKN mempunyai semangat integrasi nasional yang berterusan selaras dengan asas penubuhan PLKN sendiri.

Katanya, buat masa ini PLKN mempunyai empat modul iaitu kenegaraan, fizikal, jati diri dan khidmat komuniti.

"Modul baru ini akan menambah baik kokurikulum sedia ada pada masa yang sama menggantikan modul yang dilihat sudah lagi tidak relevan.

"PLKN sudah lima tahun dilaksanakan dan secara logiknya, selepas tempoh itu penilaian semula perlu dilakukan untuk memantapkan program tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai rombongan Kementerian Pertahanan membuat lawatan ke Kompleks Percetakan Sri Utusan di sini hari ini.

Turut menyertai rombongan itu ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin; Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Allatif Mohd. Noor dan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Mejar Jeneral Datuk Abd. Hadi Hussein.

Sementara itu, Ahmad Zahid memberitahu, PLKN juga akan mewujudkan alumni tersendiri bagi membolehkan kerajaan merangka program susulan terhadap lepasan program kebangsaan tersebut.

Katanya, kerajaan tidak mahu berbangga dengan jumlah angka pelatih PLKN yang mencapai setengah juta orang tahun ini tetapi yang lebih penting adalah nilai perpaduan dan integriti dalam diri setiap pelatih.

Menurutnya, faedah program perlu setimpal dengan peruntukan RM700 juta yang dibelanjakan setiap tahun untuk menjayakannya.

"Setiap ahli alumni PLKN ini akan diberi kad debit dan kad diskaun bagi menarik lebih ramai bekas peserta menyertainya," jelasnya.