Tuesday, June 9, 2009

MENANGANI PERTIKAIAN AMBALAT

ISU Ambalat timbul semula apabila ia dijadikan satu isu dalam pemilihan Presiden Indonesia.
Sememangnya soal kedaulatan negara sering dijadikan agenda politik calon Presiden bagi meraih sokongan kerana ia merupakan isu yang sensitif. Ia juga mampu meningkatkan semangat nasionalisme rakyat. Isu mengenai pencerobohan Pihak Berkuasa Malaysia di perairan tersebut banyak dilaporkan dalam akhbar dan media Indonesia.

Dalam hal ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan mencadangkan supaya Pihak Berkuasa kedua-dua negara menghentikan rondaan sementara di kawasan tersebut sehinggalah isu persempadanan maritim dimuktamadkan.

Malaysia juga perlu menghentikan penggunaan istilah Ambalat kerana ia hanya merujuk kepada blok konsesi minyak Indonesia sebagaimana Malaysia menggunakan Blok Minyak ND6 dan ND7 Petronas di kawasan tersebut yang merupakan Laut Sulawesi.

Dalam hal ini, cadangan tersebut dilihat munasabah dalam jangka pendek sahaja dan langkah-langkah yang menyeluruh perlulah dikaji dan dilaksanakan bagi mengelakkan konflik di lapangan berlaku dan berusaha untuk mencapai penyelesaian atau penamatan konflik seperti berikut:

Mengkaji semula Peraturan Bagi Mengelakkan Insiden di Laut yang telah dimeterai oleh Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Laut Indonesia. Timbul persoalan adakah peraturan tersebut masih lagi relevan atau hanya retorik semata-mata?

Meneruskan rundingan persempadanan maritim bagi mencapai kata sepakat perbatasan maritim di Laut Sulawesi. Rundingan ini penting supaya kedua-dua pihak dapat mengetengahkan asas masing-masing dalam tuntutan tersebut dan ia perlulah berlandaskan kepada konsep 'menang-menang' dan bukannya 'zero-sum'.

Mewujudkan kawasan kerjasama sementara sama ada dari segi pengeksploitan perikanan, petroleum dan gas tanpa menjejaskan persempadanan maritim yang akan dimuktamadkan.
Ia boleh diwujudkan berdasarkan peruntukan Konvensyen Undang- Undang Laut Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu 1982 di mana Malaysia dan Indonesia adalah ahlinya. Malaysia pernah mewujudkan Kawasan Pembangunan Bersama dengan Thailand bagi eksploitasi petroleum dan gas di Laut China Selatan.

Mengekalkan status quo di mana kedua-dua pihak tidak mengeksploitasi sumber perikanan, petroleum dan gas. Malaysia dan Brunei Darussalam pernah mengambil pendekatan ini di kawasan tuntutan bertindih di Laut China Selatan.

Mengemukakan kepada Pihak Ketiga seperti Mahkamah Keadilan Antarabangsa bagi memutuskan persempadanan maritim. Langkah ini mungkin sukar kerana ia memerlukan persetujuan kedua-dua negara selain dilihat sebagai kesilapan tidak diambil kira semasa merujuk kes kedaulatan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada ICJ sebelum ini.

Konflik wilayah dan persempadanan maritim sememangnya konflik antara negara yang masih wujud pada abad ke-21 ini. Konflik ini boleh menjadi konflik ketenteraan jika tidak ditangani sewajarnya.

Konflik di Laut Sulawesi ini perlu diselesaikan melalui rundingan dan diplomasi. Keputusan untuk melibatkan konflik bersenjata adalah tidak wajar kerana Malaysia dan Indonesia merupakan negara jiran yang akrab.

Konfrontasi pada 1962-1965 perlu dijadikan iktibar dalam hubungan dua hala Malaysia pada masa kini dan mendatang.

No comments: