SEPANG 7 Mei - Punca kematian Allahyarham Mejar Mohd. Shafie Mahat, 50, semasa bertugas di markas Kinshasha, Congo 30 April lalu disahkan sebagai mati mengejut.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, laporan bedah siasat ke atas jenazah Pegawai Terminal Udara di Uganda dua hari lalu mengesahkan punca tersebut.
"keluarga Allahyarham di sini sudah dimaklumkan (laporan bedah siasat) dan saya berharap mereka dapat menerima ketentuan ilahi ini, " katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyambut ketibaan jenazah Allahyarham Mohd. Shafie di MAS Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 2.15 petang ini. Jenazah dibawa dengan pesawat EK 346 (pesawat Emirate UAE)
Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal; Panglima Angkatan Udara, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin; Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Bashir Abu Bakar dan Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Allatif Mohd. Noor.
Jenazah yang telah dimandikan dan dikafankan dengan kerjasama pihak Jabatan Agama Islam Uganda di Hospital Entebbe diiringi pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Congo, Leftenan Kolonel Mohamad Sediqi Abdul Wahid.
Allahyarham kemudian dibawa ke Masjid Kampung Sawah Sunggala, Teluk Kemang, Port Dickson untuk disembahyang dan dikebumikan di tanah perkuburan kampung itu dengan penuh adat istiadat ketenteraan.
Dala pada itu Ahmad Zahid berterima kasih kepada Konsul Jeneral Kehormat Congo dan pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana membantu mempercepatkan pengurusan jenazah untuk dibawa pulang ke tanah air.
"Saya juga berharap petugas misi keamanan sama ada di Congo atau Lebanon agar meneruskan tugas dan tidak patah semangat walaupun sedih dengan kematian rakan mereka'" katanya.
Allahyarham Mohd. Shafie yang bertugas di bawah panji PBB meninggalkan seorang balu, Siti Zaharah Omar serta enam orang anak, Siti Fatin Adibah, 20; Siti Aisyah, 19; Mohamad Syarifudin, 18; Mohamad Syahrizam, 13; Mohamad Syahrizal, 10 dan Siti Zarith Sofea, sembilan tahun.
Sementara itu, Mohamad Syarifudin yang ditemui bertekad mahu meneruskan perjuangan bapanya dalam bidang ketenteraan berdasarkan minat yang mendalam sejak kecil lagi.
"Saya akan ikut jejak langkah ayah menjadi seorang tentera. Walaupun kematiannya amat mengejutkan kami sekeluarga namun saya tidak akan patah semangat," katanya mengenangkan janji bapanya yang tidak kesampaian untuk membawa keluarganya bercuti di Pulau Perhentian apabila pulang bertugas.
No comments:
Post a Comment