Friday, March 13, 2009

BAYAR ZAKAT MENERUSI POTONGAN GAJI DI WILAYAH PERSEKUTUAN

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (Jawhar) sedang menggubal Rang Undang-undang Zakat dan Fitrah (Wilayah-wilayah Persekutuan) yang membolehkan kakitangan awam membayar zakat menerusi potongan gaji. Menteri di Jabatan


Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata apabila rang undang-undang itu dibentang dan diluluskan Parlimen kelak, pembayaran zakat melalui potongan gaji boleh dilakukan di Wilayah-wilayah Persekutuan. "Tindakan yang sama juga boleh dilakukan di peringkat negeri dengan menggubal peruntukan undang-undang sama untuk diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing," katanya ketika menjawab soalan Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.


Lilah ingin tahu sama ada kerajaan boleh menggubal undang-undang bagi membolehkan kakitangan awam membayar zakat melalui potongan gaji. Ahmad Zahid berkata, kerajaan Persekutuan tidak boleh mewajibkan kakitangan awam Islam membayar zakat melalui potongan gaji bulanan berikutan urusan zakat terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Beliau berkata, hal ehwal agama Islam termasuk urusan kutipan dan agihan zakat dikendalikan sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan di luar bidang kuasa kerajaan Persekutuan.


"Bagaimanapun, bagi meningkatkan jumlah pungutan zakat, beberapa MAIN sudah melaksanakan kaedah potongan gaji bulanan kakitangan awam Islam bagi membayar zakat pendapatan mereka. "Kaedah ini didapati bukan saja meningkatkan jumlah pungutan zakat malah memberi kemudahan kakitangan awam menunaikan kewajipan mereka," katanya.


Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, pungutan zakat di seluruh negara sejak 2005 hingga tahun lalu berjumlah RM2.9 bilion dengan nilai agihan sebanyak RM1.5 bilion bagi 2005 hingga 2007. "Selangor menjadi negeri paling tinggi kutipan zakatnya iaitu membabitkan jumlah kutipan RM739 juta (antara tahun 2005 hingga tahun lalu) diikuti Wilayah Persekutuan (RM662 juta), Johor (RM254 juta), Terengganu (RM200 juta) dan Kelantan (RM163 juta) bagi tempoh yang sama," katanya. - Bernama

No comments: