Monday, March 23, 2009

KURIKULUM TADIKA DI SELARAS

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyelaras kurikulum tadika Islam di seluruh negara bagi mengelakkan golongan tertentu melakukan penyelewengan minda terhadap kanak-kanak. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan membawa cadangan itu kepada Majlis Raja-Raja dalam tempoh dua bulan bagi mendapat perkenan. "Apabila piawaian kurikulum diselaraskan, tadika Islam di seluruh negara akan menggunakan teks dan sistem pendidikan yang sama.
"Kita juga akan memberi latihan kursus dalam cuti kepada tenaga pengajar dan harapan kita dalam masa lima tahun ini, sistem pendidikan tadika Islam di seluruh negara akan diselaraskan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis serah tugas pengurusan Islam Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), di sini semalam. Beliau berkata, kerajaan menyedari ada parti politik menubuhkan tadika Islam dan menghasut kanak-kanak membenci kerajaan walhal pada usia muda mereka sepatutnya dibimbing dan diberi ilmu pengetahuan.
Ahmad Zahid berkata, bagi memartabatkan tadika Islam, kerajaan menggantikan elaun tenaga pengajar dengan gaji bulanan berkuat kuasa Januari lalu. "Sebelum ini, guru tadika Islam hanya memperoleh elaun bulanan RM150 dan RM540, tetapi kini mendapat gaji bulanan RM1,200 hingga RM2,500," katanya. Sementara itu, beliau berkata, kerajaan akan mengadakan perhimpunan besar-besaran membabitkan 5,600 pelajar tadika Islam Wilayah Persekutuan di Dataran Merdeka, dalam masa terdekat. Seramai 15,000 akan hadir termasuk, pelajar, guru dan ibu bapa dalam pertemuan itu. Ikon anak muda, pengacara Aznil Nawawi dan penyanyi, Mawi turut memeriahkan majlis itu.

No comments: