Wednesday, March 11, 2009

MAULIDUR RASUL DISAMBUT MERIAH

KUALA LUMPUR 9 Mac - Majlis sambutan Maulidur Rasul diperingati di seluruh negara hari ini dengan acara Peringkat Kebangsaan berlangsung di Dataran Merdeka di sini.Sambutan kali ini yang bertemakan Wahdah Pemangkin Khaira Ummah dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.Turut hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sambutan bermula dengan perarakan sambil berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang terdiri daripada kontinjen jabatan kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan, sekolah, institusi pengajian tinggi awam dan institut latihan dan wakil masjid membabitkan kira-kira 100,000 peserta.


Di SEREMBAN, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir mengetuai lebih 9,000 peserta perarakan Maulidul Rasul peringkat negeri di padang Majlis Perbandaran Seremban di sini pagi ini.


Sebanyak 62 kontinjen daripada jabatan dan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta serta orang ramai menyertai perarakan mengelilingi bandar ini sambil membawa sepanduk dan berselawat.


Terdahulu, Tuanku Muhriz dalam titahnya menyeru umat Islam di negeri ini supaya berazam menjadi anggota masyarakat yang beriman, berilmu dan berkemahiran serta taat menyempurnakan ajaran Islam dan juga sunah Rasulullah.


Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan pula mengingatkan umat Islam supaya memainkan peranan yang membina dan mengekalkan keimanan serta nilai kerohanian dan persaudaraan sejati agar dapat menyumbang secara positif kepada pembangunan ummah.

Di KUALA TERENGGANU, sambutan Maulidur Rasul dimulakan dengan perarakan sejauh 1.2 kilometer dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah ke Stadium Negeri di Jalan Sultan Mahmud. Sebanyak 92 kontinjen daripada jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan, pasukan berunifom, pelajar sekolah, pertubuhan badan bukan kerajaan dan swasta melibatkan 3,680 orang mengambil bahagian dalam perarakan itu.


Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu Tengku Sri Panglima Raja Tengku Badrulzaman Sultan Mahmud berkenan merasmikan sambutan itu di Stadium Negeri dan melancarkan Bulan Dakwah peringkat negeri.


Di ALOR SETAR, Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menyeru umat Islam kembali kepada penghayatan ajaran agama dalam menghadapi kesukaran dan mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah S.W.T."Ombak perpecahan agak mengganas, namun umat Islam perlu bangun berpasakkan keyakinan dengan janji pasti Allah melalui lidah Rasulullah, bahawa Islam sentiasa berada di puncak keagungan.


"Pakej kehidupan tidak akan harmonis jika tersilap tafsir apa erti agama, tidak menghayati keagungan sunah dan menyisih serta meminggirkannya dari kehidupan," titah baginda pada majlis pelancaran sambutan peringkat negeri di Kolej Universiti Insaniah, di sini hari ini.


Di KOTA KINABALU, lebih 7,000 umat Islam menyertai Yang Dipertua Negeri Tun Ahmadshah Abdullah dalam perarakan dari Padang Merdeka ke Bangunan Majlis Ugama Islam (Muis) di Sembulan, dekat sini.
Sebanyak 83 kontinjen dari jabatan dan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta serta orang ramai menyertai perarakan itu sambil membawa sepanduk dan berselawat.

Di KOTA BHARU, Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra berangkat menyertai sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri yang diadakan di Masjid Muhammadi di sini, malam tadi.
Baginda sebelum itu mendengar ceramah keagamaan sebelum bersama-sama lebih 1,000 jemaah menunaikan solat Isyak. - Bernama

No comments: