Thursday, February 12, 2009

Utara: PEMBANGUNAN ENKLAF MUSLIM

Lakaran projek pembangunan semula kawasan Enklaf Muslim di Georgetown.



Penjenamaan semula di kawasan sekitar tiga masjid tertua di Pulau Pinang GEORGETOWN:



Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) bekerjasama dengan UDA Land North Sdn Bhd, anak syarikat UDA Holdings Bhd untuk menjenamakan semula Enklaf Melayu di bandar ini bagi mengembalikan kegemilangan aktiviti perniagaan dan keagamaan. Menerusi kerjasama itu, Enklaf Melayu yang merangkumi pembangunan semula kawasan perniagaan dalam lingkungan tiga masjid tertua dan bersejarah di negeri ini - Masjid Kapitan Keling, Masjid Alimsah Waley dan Masjid Melayu Lebuh Acheh - kini dikenali sebagai Enklaf Muslim.


Usaha sama itu merangkumi pengurusan premis wakaf di kawasan Enklaf Muslim, mempromosi kawasan berkenaan, menentukan konsep perniagaan yang bersesuaian serta menaik taraf bangunan yang dimiliki Maipp di kawasan itu. Majlis memeterai memorandum persefahaman di antara Maipp dan UDA Land North, kelmarin disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar. Enklaf itu beroperasi sejak tiga tahun lalu selepas selesai projek pemuliharaan dan pembangunan semula dengan peruntukan dalam Rancangan Malaysia Kelapan sebanyak RM40 juta.


Ia membabitkan pembangunan satu blok pangsapuri 56 unit, naik taraf empat unit kedai dua tingkat dan Masjid Alimsah Waley serta pemuliharaan dan pembangunan Wakaf Masjid Melayu Lebuh Acheh dengan mewujudkan 14 premis ruang niaga, enam rumah kedai dan 16 premis kediaman. Selain itu, projek berkenaan turut membabitkan pembangunan 90 unit komersial, 82 unit kediaman dan satu blok Pusat Rawatan Islam di Wakaf Masjid Kapitan Keling.


Yang Dipertua Maipp, Shabudin Yahaya, berkata UDA Land North akan membantu Maipp mempromosi dan menguruskan kawasan itu dengan pengurusan ruang niaga, premis komersial dan kediaman. “Tiga masjid tertua di Enklaf Muslim menjadi fokus pihaknya untuk mewujudkan konsep berkenaan dengan sasaran menghidup dan menyuburkan kembali nostalgia kegemilangan era perdagangan Islam satu ketika dulu,” katanya.


Katanya, sebanyak 90 unit pasar lambak atau flea market akan disediakan di kawasan itu kepada peniaga kecil yang akan diberikan taraf perintis untuk satu tempoh masa bagi membolehkan mereka bertapak dalam perniagaan. "Maipp akan memberi peluang kepada segenap lapisan usahawan Islam untuk bersaing secara sihat di samping menjadikan kawasan itu sebagai pusat perniagaan berdaya maju seterusnya menjana pendapatan kepada wakaf yang optimum," katanya.

No comments: