Tuesday, February 3, 2009

SEKOLAH IMTIAZ DIBINA DI SETIAWANGSA

KUALA LUMPUR 2 Feb. - Sekolah Imtiaz yang berteraskan akademik dan agama bakal dibina di sini dalam usaha melahirkan lebih ramai modal insan Islam profesional.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekolah tersebut akan dibina di tapak seluas 8.8 hektar di Setiawangsa dan dijangka siap menjelang 2013.

"Pengambilan pertama pelajarnya dijangka dibuat pada tahun yang sama.
"Buat permulaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan menyalurkan sebanyak RM30 juta daripada RM100 juta sebagai modal permulaan pembinaan sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Yayasan Generasi Gemilang (Y2G) di Masjid Wilayah Persekutuan di sini kelmarin.
Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali; Pengerusi Y2G, Datuk Hisham Abdul Majid dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Aziz Ishak.

Y2G yang dilancarkan berperanan menguruskan Sekolah Imtiaz yang bakal menggunakan kaedah pembelajaran yang hampir sama dengan Sekolah Imtiaz di Terengganu.
Sekolah tersebut antara lain akan mewajibkan semua pelajarnya menghafaz 30 juzuk al-Quran di samping mengikuti pembelajaran kurikulum kebangsaan seperti yang ditetapkan pihak Kementerian Pelajaran.

Ahmad Zahid berkata, Sekolah Imtiaz berkenaan akan mengutamakan anak-anak Kuala Lumpur sebelum dibuka kepada pelajar dari negeri lain.
Beliau berkata, menggunakan kaedah Darul Quran, pelajar sekolah itu diharap dapat mengisi kekosongan modal insan dalam pasaran kerja yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan kurikulum tetapi asas agama yang kukuh.

Sementara itu, Zulhasnan berkata, kementeriannya bakal membina sebuah sekolah menengah agama lagi yang bakal bertindak sebagai sekolah saluran kepada Sekolah Imtiaz bagi menyokong pembinaan sekolah itu.

Katanya, buat masa ini, pihaknya telah mengenal pasti kawasan seluas 13.6 hektar di Bandar Seri Permaisuri, Cheras sebagai tapak sekolah berkenaan.
"Sekolah agama ini bakal menempatkan 1,200 pelajar setelah siap dalam tempoh dua tahun akan datang," kata beliau.

Jelas Zulhasnan, buat masa ini pembayaran premium sebanyak RM3 juta telah dilakukan bagi tujuan pembinaannya.

1 comment:

Natalis Post Natal And Confinement Care Services said...

ni sekolah kerajaan ke,hmmm...xsbr nk hantar anak kt sini..umur berapa boleh hantar kt sini?