Thursday, February 12, 2009

SKIM WAKAF TUNAI DILANCAR MAJU TANAH RM1.9 BILION

Orang ramai boleh buat potongan gaji untuk salurkan dana
GEORGETOWN: Kerajaan akan melancarkan skim Waqaf Tunai Malaysia bagi mengumpul dana untuk membangunkan tanah wakaf di seluruh negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM1.9 bilion. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata melalui skim itu, umat Islam boleh menggunakan wang tunai sebagai harta yang diwakafkan untuk pembangunan tanah wakaf.
Katanya, Yayasan Waqaf Malaysia iaitu sebuah entiti di bawah jabatannya akan menguruskan kaedah bagi memudahkan orang ramai mewakafkan wang tunai masing-masing termasuk melalui potongan gaji. "Kita akan bekerjasama dengan bank seperti Bank Rakyat dan Bank Islam untuk membuat potongan gaji dan menggunakan wang itu bagi membiayai projek," katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Uda Land North Sdn Bhd dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) di sini, semalam. Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar, Yang Dipertua Maipp, Shabudin Yahaya; Pengerusi UDA Holdings, Datuk Hilmi Rashid dan Pengarah Urusan UDA Holdings, Datuk Jaafar Abu Hassan.
Waqaf Tunai Malaysia dikendalikan Yayasan Waqaf Malaysia iaitu sebuah entiti yang diperbadankan pada 23 Julai 2008. Dana yang dikutip akan dikumpul di dalam tabung amanah di bawah pengurusan yayasan itu sebelum ditukar kepada harta kekal supaya manfaatnya kepada umat Islam dapat disalurkan berulang kali.
Matlamat teras yayasan itu ialah mengumpul dana wakaf, membangunkan dan memajukan tanah wakaf, membuat pelaburan yang dibenarkan oleh syarak, merangka program kebajikan dan sosial untuk faedah umat Islam dan mempromosi serta mengembangkan institusi wakaf. Ahmad Zahid turut memuji Maipp kerana bekerjasama dengan UDA Land North iaitu anak syarikat UDA Holding untuk memajukan tanah wakaf di Pulau Pinang.

Sehubungan itu, beliau berharap majlis agama negeri lain turut mencontohi pendekatan yang dilaksanakan oleh Maipp bagi menambah nilai tanah wakaf di seluruh negara.

No comments: