Friday, February 13, 2009

PROGRAM BULAN DAKWAH KEMBALI

PUTRAJAYA: Program Bulan Dakwah peringkat kebangsaan yang tidak diadakan hampir 31 tahun, dianjurkan kembali bagi meningkatkan kegiatan dakwah secara bersepadu di seluruh negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Katanya, bulan dakwah yang dianjurkan tahun ini adalah kesinambungan program sama yang pernah dilaksanakan pada 1978.

"Walaupun program itu tidak dapat dijadikan program tahunan, impak yang diperoleh amat positif. Atas kesedaran memperjelaskan lagi fungsi, peranan dan praktikal dakwah, program ini dikembalikan semula ke pangkuan masyarakat," katanya pada majlis prapelancaran Bulan Dakwah peringkat kebangsaan 2009 di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalannya, Datuk Dr Mashitah Ibrahim. Sebelum ini, Ahmad Zahid mencadangkan supaya program Bulan Dakwah dilaksanakan semula tahun ini dan kerajaan kemudiannya melantik Yadim sebagai sekretariat induk peringkat kebangsaan manakala Jabatan Agama Islam Negeri sebagai sekretariat negeri untuk melaksanakan program selama sebulan bermula Ahad ini hingga 31 Mac depan. Katanya, dakwah bukan hanya dalam bentuk ceramah, syarahan dan forum yang dianjurkan di masjid dan surau.

Malah katanya, gambaran ustaz dan ustazah, tok lebai dan tok guru saja dipikulkan dengan tanggungjawab itu masih berlegar dalam pemikiran masyarakat sedangkan amanah dakwah tergalas di bahu seluruh umat. "Oleh itu, kita mahu mengubah mentaliti masyarakat Islam terhadap pendekatan "dakwah bil hal" iaitu dengan kaedah teori dan praktikal yang lebih mudah difahami dan diterima masyarakat,” katanya.

No comments: