Thursday, January 29, 2009

'PUSAT TIADA HASRAT ANIAYA RAKYAT PERAK'

BAGAN DATOH: Kerajaan Persekutuan sentiasa berlaku adil dan tidak pernah berhasrat menganiaya rakyat Perak walaupun negeri ini diperintah kerajaan Pakatan Rakyat. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia dibuktikan apabila semua projek pembangunan yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) terus dilaksanakan mengikut jadual.

"Agihan projek diberikan mengikut perancangan sebelum ini kerana sebahagian besar rakyat Perak masih menyokong Barisan Nasional (BN)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan pelajar cemerlang sekolah rendah dan menengah Parlimen Bagan Datoh di sini, petang kelmarin.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh, berkata arahan melarang semua ketua jabatan agensi Kerajaan Pusat menghadiri mesyuarat rasmi kerajaan Perak juga tidak menghalang pegawai agensi terbabit melaksanakan semua projek yang sudah diluluskan. Katanya, pegawai jabatan agensi Kerajaan Persekutuan adalah berpengalaman, profesional dan bijak mengendalikan semua pelaksanaan projek tanpa perlu pemantauan kerajaan negeri. Beliau berkata, larangan itu dibuat kerana ada pemimpin kerajaan Perak 'mendabik dada' mendakwa peruntukan Kerajaan Persekutuan yang dilaksanakan di negeri itu kononnya dibiayai mengikut peruntukan kerajaan negeri.

Sebagai contoh, katanya, projek melebarkan jalan raya dari jambatan Sabak Bernam, Selangor ke pekan Simpang Empat Hutan Melintang, Perak dan pembinaan Dewan Kraftangan di pekan Bagan Datoh, didakwa kononnya dilaksanakan mengikut peruntukan kerajaan negeri. "la adalah pembohongan kerana kedua-dua projek itu dibiayai Kerajaan Persekutuan," katanya sambil menegaskan beliau sendiri meluluskan peruntukan membina dewan kraftangan berkenaan ketika menjadi Timbalan Menteri Pelancongan.

Beliau berkata, kerajaan Persekutuan sentiasa mahu bekerjasama dengan kerajaan negeri tetapi malangnya pemimpin kerajaan Pakatan Rakyat sering mengambil tindakan tidak bijak sehingga menimbulkan keresahan rakyat. "Antara tindakan tidak popular dilakukan oleh kerajaan negeri ialah menutup dewan orang ramai untuk murid tadika Kemas sedangkan pembinaan dewan itu dibiayai oleh kerajaan Persekutuan. Adakah tindakan ini dianggap adil oleh kerajaan Perak?," katanya sambil menyangkal kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mendakwa kebanyakan projek dilaksanakan atas tanah milik kerajaan negeri.

Ahmad Zahid juga menasihatkan ketua jabatan agensi kerajaan Persekutuan agar segera memberitahu Jabatan Perdana Menteri sekiranya mereka menghadapi kesulitan melaksanakan projek kerana kerenah birokrasi kerajaan negeri.

No comments: