Thursday, February 19, 2009

PZA RAIH DANA RM2 BILION

KUALA LUMPUR 18 Feb. - Pertubuhan Zakat Antarabangsa (PZA) dijangka meraih dana sebanyak RM2 bilion dalam tahun pertama selepas ia mula beroperasi pada bulan Jun tahun lalu.

Pengerusi PZA, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, dana itu diunjurkan meningkat sehingga RM10 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, dana itu bakal diperolehi daripada pembayaran zakat oleh syarikat gergasi di negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan juga perkongsian keuntungan daripada simpanan syarikat-syarikat gergasi berkenaan di bank-bank seluruh dunia yang tidak dituntut.

''Dianggarkan faedah yang tidak dituntut daripada jumlah simpanan syarikat gergasi di kalangan negara OIC pada tahun lalu adalah kira- kira AS$1.3 trilion (RM4.68 trilion)," katanya selepas majlis pemeteraian perjanjian antara PZA dengan Kumpulan BMB bagi membangun dan menguruskan dana tersebut di sini, hari ini.

Kumpulan BMB merupakan firma pengurusan aset dan kewangan yang beribu pejabat di Pulau Cayman dan kini ia menguruskan dana bernilai lebih daripada AS$10 bilion (RM36 bilion).
Penubuhan PZA itu telah dicadangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Sidang Kemuncak Khas OIC di Mekah, Disember tahun lepas.
Menurut Ahmad Zahid, dana yang akan diuruskan oleh Kumpulan BMB itu akan dilaburkan melalui projek komuniti yang menumpukan kepada tiga bidang iaitu pengagihan modal untuk perniagaan dalam industri kecil dan sederhana, pembangunan hospital, pendidikan dan perumahan serta dana kecemasan.

''Butiran lanjut mengenai aktiviti pengagihan dana zakat ini akan dimaklumkan selepas ini." ujarnya.

No comments: