Monday, February 23, 2009

AHLI POLITIK DILARANG HADIR DIALOG AGAMA

Program Bulan Dakwah elak salah faham

PUTRAJAYA: Program dialog antara agama pada peringkat nasional dan negeri akan hanya dihadiri kalangan tokoh agama tanpa campur tangan ahli politik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Katanya, program itu yang terkandung dalam pengisian Bulan Dakwah Peringkat Kebangsaan tahun ini bertujuan merapatkan rasa muhibah di kalangan penganut pelbagai agama di negara ini.


"Sebagai pengisian program ini kita menjemput tokoh bukan Islam untuk bersama-sama dalam dialog antara agama... biarlah kalangan ahli agama saja, kalau ulama mewakili Islam, paderi dan sami bagi agama lain. "Jangan ada orang politik, campur tangan orang politik akan jadi masalah. Saya sendiri tidak akan terbabit, begitu juga timbalan saya," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Bulan Dakwah Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam. Majlis disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin. Hadir sama, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim; Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Nakhaie Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamed Sheikh Abd Aziz.


Bulan Dakwah Peringkat Kebangsaan diadakan semula selepas kali pertama dianjurkan pada 1978 yang antara lain bertujuan mendidik, membina kesedaran dan penghayatan cara hidup mengikut ajaran Islam secara menyeluruh dan kontemporari. Tema program itu ialah 'Wahdah Pemangkin Khairu Ummah' yang dianjurkan Jabatan Perdana Menteri manakala Yadim dan kerajaan negeri sebagai urus setia. Ahmad Zahid berkata, program berkenaan mencakupi pelbagai kegiatan untuk menarik golongan pertengahan umur dan remaja mendekati agama.

No comments: