PUTRAJAYA: Majlis Media Muslim Malaysia dijangka memainkan peranannya tidak lama lagi dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersedia menawarkan diri sebagai sekretariat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Katanya, Jakim turut bersedia menyediakan premis sesuai bagi membolehkan majlis berkenaan menjalankan operasi dengan menggunakan kemudahan sedia ada dan kakitangan di Unit Media Elektronik dan Penerbitan jabatan berkenaan. “Majlis ini tidak memerlukan pelancaran rasmi dan diraikan bagi mengelak pembaziran,” katanya kepada Berita Harian pada pertemuan di pejabatnya di sini, semalam. Ahmad Zahid diminta mengulas perkembangan terbaru pelaksanaan majlis itu selepas mengemukakan cadangan ketika membentangkan kertas kerja pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI3), bulan lalu. Majlis itu bertujuan memperlihatkan kesepakatan di kalangan orang Islam menghadapi persekitaran ekonomi global dan sebagai platform kesepakatan di antara pengamal media dan kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam supaya media menjadi wahana penggerak kefahaman sebenar terhadap sistem ekonomi Islam. Ditanya siapa yang layak dilantik sebagai Pengerusi Majlis Media Muslim Malaysia itu, beliau berkata, beliau menyerahkan kepada pengamal media untuk mengadakan mesyuarat sesama mereka bagi menentukan jawatan berkenaan. “Antara yang berminat ialah Datuk Johan Jaafar dan beliau adalah wartawan veteran tersohor. Setakat ini, kerangka awal iaitu organisasinya sudah siap cuma hendak melaksanakannya. “Majlis ini boleh dimulakan tanpa campur tangan kerajaan secara langsung kecuali dari segi dana,” katanya. Pengamal media boleh membentuk apa saja rancangan untuk kebaikan ummah serta kepentingan di rantau ini dan sejagat. Sementara itu, ditanya mengenai anak tempatan yang mungkin diletakkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, Ahmad Zahid berkata, ada ramai tokoh terkenal kawasan itu yang menyatakan minat menjadi calon. “Selain Timbalan Ketua bahagian (Umno Bukit Gantang) dan Naib Ketua bahagian, ada beberapa tokoh dan anak tempatan yang terbabit dalam aktiviti parti di peringkat nasional. “Pada hemat saya, eloklah anak Bukit Gantang yang dibesarkan dan bergelumang dengan masyarakat di sana... jangan ambil risiko, orang yang kuat melobi dan dipilih pemimpin.. tapi tidak disukai pengundi, ini akan mengundang risiko tinggi. "Masyarakat Bukit Gantang sudah cukup berlapang dada dan terbuka apabila lebih dua dekad Ahli Parlimen adalah orang luar, malah calon pada pilihan raya umum lalu juga orang luar," katanya. Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak berkata, masyarakat Bukit Gantang mempunyai sikap yang agak lantang sekarang ini apabila mereka sendiri menyuarakan supaya anak tempatan diberi keutamaan selepas terlalu lama akur dengan kehendak kepemimpinan negeri dan Pusat apabila menerima sesiapa saja sebagai calon. “Ini ketikanya kalau mahu kemenangan memihak kepada BN, anak tempatan sama ada yang pegang jawatan di bahagian atau ahli profesional anak Bukit Gantang dan terbabit dalam Umno, kita akan calonkan demi memenuhi kehendak orang Bukit Gantang,” katanya. Ahmad Zahid berkata, pengumuman calon BN bagi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang akan dibuat Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir. Katanya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan beliau akan mengemukakan nama yang akan diumumkan selepas mendapat maklum balas secara terperinci serta mendapat restu daripada kepemimpinan Umno Bukit Gantang. "Soal bila nak umum calon sama ada satu hari atau dua tiga minggu sebelum penamaan, kita akan lihat dari segi kesesuaian masa. Ada pro dan kontra dalam hal ini dan kita akan bincang dengan orang Bukit Gantang," katanya. |
Wednesday, February 18, 2009
MAJLIS MEDIA MUSLIM MALAYSIA AKAN DITUBUH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment