SEREMBAN 13 Feb. - Sebuah pusat kegiatan saudara baru akan dibina di Taman Seri Rahang di sini dengan kos RM7 juta, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Menurutnya, pusat berkenaan ditubuhkan sebagai tempat memberi bimbingan selain perlindungan kepada golongan berkenaan terutamanya yang disisih oleh ahli keluarga. Kata beliau, projek itu merupakan salah satu daripada 19 projek yang sedang dibangunkan di bawah Program Pembangunan Harta Wakaf, Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) melalui Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar). "Projek yang pertama seumpamanya di Malaysia ini dibangunkan antara Jawhar bersama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS). ''Jawhar menyediakan peruntukan RM2 juta sementara MAINS pula menyediakan tapak yang bersesuaian serta peruntukan tambahan RM5.8 juta bagi menampung kos projek keseluruhan," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian dan perletakan batu asas di tapak pembinaan projek itu yang turut dihadiri oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.Ahmad Zahid memberitahu, pusat kegiatan berkenaan dijangka siap pada Jun tahun depan.Katanya, ia akan menjadi tempat tumpuan beribadat secara khusus seperti bersolat serta tempat penganjuran pelbagai aktiviti keagamaan seperti kelas bimbingan akidah, al-Quran dan sebagainya. "Pusat kegiatan saudara baru ini menyediakan komponen utama seperti dewan sembahyang utama, kelas bimbingan, pejabat, asrama kediaman, bilik mesyuarat serta perpustakaan,'' jelasnya. Menurutnya, setelah pembinaannya selesai Jawhar akan menyerahkan bangunan itu kepada MAINS untuk diurus sebaiknya.Kata Ahmad Zahid lagi, kejayaan projek tersebut kelak akan menjadi kejayaan program Pembangunan Harta Wakaf di bawah RMK-9 yang membawa dimensi baru dalam pembangunan tanah-tanah wakaf di Malaysia. "Ia bukan saja memberi manfaat kepada pewakaf tetapi juga kepada golongan lain seperti pembinaan pusat saudara baru ini," katanya. Sementara itu beliau memberitahu, di bawah Program Pembangunan Harta Wakaf RMK-9, kerajaan melalui Jawhar memperuntukan siling keseluruhan sebanyak RM256.5 juta bagi pembangunan tanah wakaf di seluruh negara yang dianggarkan bernilai lebih RM1.9 bilion. "Adalah sesuatu yang merugikan jika tanah-tanah wakaf ini tidak dibangunkan. ''Oleh itu, pelbagai projek fizikal dan bukan fizikal dirintis serta dirancang untuk dilaksanakan dalam RMK-9,'' jelasnya. |
Monday, February 16, 2009
PUSAT SAUDARA BARU RM7 JUTA DI SEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment