Monday, February 16, 2009

PENYELARASAN HAL EHWAL ISLAM

SEREMBAN 13 Feb. - Langkah kerajaan Pusat menyelaraskan beberapa perkara mengenai hal ehwal agama Islam antara negeri-negeri bertujuan melicinkan lagi pentadbiran bidang tersebut.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan tersebut bukan bertujuan mengambil alih pentadbiran agama Islam daripada negeri-negeri.Beliau menegaskan, kerajaan Pusat tidak mempunyai kuasa mengenai hal ehwal agama Islam di peringkat negeri kerana ia terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.


"Kerajaan Pusat tidak berniat mengambil kuasa negeri-negeri tetapi kita mahu penyelarasan dilakukan. Jadi kita ambil tindakan penyelarasan agar pentadbiran agama Islam lebih mantap," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Perasmian dan Perletakan Batu Asas Projek Pembinaan Pusat Kegiatan Saudara Baru di sini hari ini.


Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Dr. Sohaimi Mohd. Salleh.


Ahmad Zahid menjelaskan, salah satu penyelarasan yang sedang diusahakan ialah penubuhan Majlis Peguam Islam bagi membolehkan peguam syarie menjalankan amalan guaman di negeri-negeri.Beliau berkata, ia berikutan timbulnya masalah apabila mana-mana peguam syarie yang mendaftar di satu negeri tidak boleh menjalankan amalan guaman mereka di negeri lain.


Katanya, dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) kelak, mana-mana individu mendaftar sebagai peguam syarie boleh menjalankan amalan guaman di negeri lain.
"Sekarang ini tak ada, sebab negeri-negeri mempunyai kuasa masing-masing,'' katanya

No comments: