Tuesday, February 24, 2009

JAKIM AKAN KENAL PASTI MASALAH MURTAD

RANAU 22 Feb. - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menjalankan kajian mendalam mengenai masalah dan punca utama segelintir saudara baru di Sabah kembali ke agama asal mereka.Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan satu kajian mendalam mengenainya akan dilakukan secepat mungkin.


"Kita memang ada usaha menarik semula golongan mualaf atau saudara baru di negeri ini yang kembali ke agama asal," katanya pada sidang akhbar di Majlis Perasmian Pusat Latihan Islam Kundasang dekat sini hari ini. Majlis tersebut disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Mufti Sabah, Datuk Alawi Adnan.


Beliau diminta mengulas tindakan segelintir saudara baru di pedalaman Sabah yang kembali semula ke agama asal termasuk mereka yang sudah lama memeluk agama Islam. Wan Mohamad berkata, perkembangan itu amat membimbangkan dan Jakim akan membantu saudara-saudara baru berdasar kepada keperluan dan keadaan sebenar.


Dalam pada itu, katanya, bagi membantu dan membimbing golongan mualaf, Jakim akan membina kompleks atau pusat-pusat komuniti khusus untuk kemudahan mereka. Katanya, melalui kemudahan tersebut, pelbagai kegiatan dapat dilakukan oleh golongan berkenaan terutamanya dalam mendalami dan meningkatkan kefahaman tentang ajaran Islam.


''Jakim Pusat akan bincang dengan Jakim cawangan Sabah dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) mengenai perkara ini, ia adalah untuk menjaga kebajikan mereka. ''Terbaru, sebuah Pusat Latihan Islam (PLI) Lahad Datu yang siap pada tahun lalu, akan beroperasi pada tahun ini. Setakat ini kita sudah ada empat pusat latihan dakwah di Sabah," katanya.


Beliau berkata, bagi memantapkan usaha dakwah di Sabah, Jakim melantik 19 pendakwah yang terdiri daripada anak tempatan.Menurut Wan Mohamad, mereka dilatih dan dibimbing sepenuhnya oleh Jakim dan akan berperanan masuk ke kampung-kampung untuk memberi penjelasan mengenai Islam.

No comments: