Wednesday, February 25, 2009

AMAL SISTEM PENGURUSAN ISLAM DALAM PENTADBIRAN

RANAU 24 Feb. - Semua agensi dan jabatan di negeri ini digesa mengamalkan sistem pengurusan berlandaskan Islam bagi mewujudkan kerajaan yang bersih, adil dan amanah.

Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah berkata, bagi memastikan hasrat itu tercapai, latihan pengurusan yang bercirikan Islam perlu dipertingkatkan.

''Saya menyeru agar program seperti itu dapat dipertingkat dan dipergiatkan supaya semua organisasi di negeri ini dapat mengaplikasikan sistem pengurusan Islam dalam pentadbiran harian mereka.''Diharapkan latihan melahirkan pemimpin dan ketua-ketua masyarakat dapat dipergiat supaya mereka boleh menjadi pemimpin yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan Islam,'' katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Latihan Islam Kundasang dekat sini kelmarin.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dan Mufti Sabah, Datuk Alawi Adnan.Ahmadshah berkata, hasrat itu juga sejajar dengan hala tuju kerajaan Persekutuan yang menerapkan prinsip-prinsip Islam Hadhari dalam sistem pentadbiran.

Dalam pada itu, bagi memantapkan gerakan dakwah di Sabah, beliau mencadangkan satu pelan perancangan strategik dirangka segera.Katanya, pelan tersebut perlu relevan dengan perkembangan semasa dan wajar dibuat pada ketika ini untuk kepentingan generasi akan datang.

''Ini sangat penting dalam meneruskan agenda memberi kefahaman Islam dan pemantapan akidah di kalangan anak watan. Saya amat mengharapkan usaha peningkatan syiar Islam di Sabah dapat diperhebat,'' katanya.

Selain itu, katanya, keperluan dan kebajikan golongan mualaf juga perlu diberi perhatian khusus dan tidak sepatutnya diabaikan.Sehubungan itu, katanya, beliau berharap lebih banyak kompleks atau pusat-pusat komuniti untuk golongan itu dibina di setiap daerah yang akan berperanan sebagai pusat sehenti.

Pusat atau kompleks berkenaan, tambah beliau, akan berfungsi menjalankan semua aktiviti dan menjaga kebajikan golongan berkenaan yang dianggap begitu istimewa kepada umat Islam.
Jelasnya, dari tahun 1970 hingga kini, 117,579 saudara baru didaftarkan dan berikutan perkembangan tersebut, pusat khas itu amat diperlukan.



No comments: