Tuesday, December 2, 2008

WUKUF DI ARAFAH

MAKKAH: Tarikh wukuf di padang Arafah ditetapkan pada Ahad 7 Disember manakala Aidiladha di Tanah Suci akan disambut pada Isnin 8 Disember. Pengumuman tarikh Wukuf dan Aidiladha itu dibuat Majlis Tertinggi Kehakiman Arab Saudi. Akhbar harian Arab memetik laporan yang disiarkan menerusi Saudi Press Agency, Majlis itu dalam kenyataan berkata Sabtu 29 November ialah 1 Zulhijjah.

Majlis juga memutuskan wujud hari ke-30 dalam Zulkaedah ‘kerana majlis tidak menerima sebarang laporan anak bulan kelihatan’. Beratus ribu jemaah berkumpul di bandar suci ini termasuk lebih 20,000 dari Malaysia yang turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Tiada angka rasmi diumum sehingga kini mengenai jumlah keseluruhan jemaah musim ini tetapi dianggar kira-kira tiga juta jemaah akan berkumpul di padang Arafah yang luasnya 10.4 kilometer persegi, kira-kira 22 kilometer dari sini.

Ahmad Zahid yang melawat beberapa penempatan jemaah Malaysia semalam menasihatkan mereka menjaga kesihatan agar boleh mengerjakan wukuf dengan sempurna, yang juga kemuncak ibadat haji. Pegawai Tabung Haji berkata, agensi itu sudah membuat persiapan pergerakan secara berperingkat kira-kira 26,000 jemaah Malaysia ke padang Arafah pada Sabtu ini dengan bas yang diatur oleh agensi haji Arab Saudi, Muassasah.

No comments: