Monday, December 1, 2008

TABUNG HAJI DIMINTA RANGKA STRATEGI KEKAL MUTU

Makkah - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, meminta Tabung Haji (TH) merangka strategi-strategi jangka panjang bagi menjamin mutu kemudahan dan perkhidmatannya kini kekal pada kadar bayaran yang tidak membebankan jemaah haji.

Beliau berkata, kos operasi TH dianggarkan meningkat antara 30 dan 35 peratus pada tahun depan berikutan kekurangan kemudahan penginapan jemaah dan peningkatan harga barang-barang makanan.

"Sekiranya kadar wang naik haji terpaksa dinaikkan sekalipun, kita mahu mutu dan kemudahan perkhidmatan TH sekarang dipertahankan dan kalau boleh ditambah baik lagi," kata beliau kepada wartawan Malaysia selepas meninjau kemudahan maktab-maktab haji Malaysia di sini kelmarin.

"Oleh itu, kita perlu merangka dan melaksanakan tindakan jangka panjang bagi menghadapi cabaran-cabaran pada tahun-tahun akan datang," katanya. Kelmarin beliau berkata, tiada jaminan bahawa TH dapat mengekalkan kadar wang naik haji RM8,900 pada tahun depan memandangkan beban subsidi yang ditanggung agensi itu tahun ini hampir RM100juta.

Ahmad Zahid yang telah seminggu berada di Tanah Suci, melahirkan rasa puas hati dengan perkhidmatan dan kemudahan yang TH sediakan untuk jemaah Malaysia bagi musin haji sekarang. Berdasarkan maklum balas jemaah sendiri, katanya mereka juga berpuas hati dengan mutu perkhidmatan dan kemudahan seperti jarak penginapan jemaah terletak kurang satu kilometer dari Masjidil Haram.

Katanya jemaah juga berpuas hati dengan mutu pelayan katering makanan yang dikendalikan oleh anak syarikat Lembaga Tabung Haji, TH Travel & Services Sdn Bhd. Ahmad Zahid berkata, beliau akan melawat beberapa maktab lagi esok untuk bertemu dengan jemaah negara serta perkhidmatan dan meninjau kemudahan dan perkhidmatan TH.

Sementara itu, rakyat tempatan sendiri dilaporkan terjejas dengan kenaikan sewa rumah kediaman. Ia memetik pegawai Dewan Perniagaan Makkah sebagai berkata kadar sewa rumah kediaman di kota suci ini naik kira-kira 30 peratus tahun ini.

Antara sebab utamanya ialah semakin banyak bangunan menukar rumah kediaman kepada penginapan jemaah haji berikutan permintaan yang tinggi dan kadar sewa yang lebih lumayan.

No comments: