Monday, December 22, 2008

KEMENTERIAN, JPN TENTUKAN UJIAN HIV BUKAN ISLAM

PUTRAJAYA 20 Dis. - Cadangan untuk memperluaskan pemeriksaan ujian saringan HIV sebelum berkahwin kepada semua kaum hanya boleh ditentukan oleh Kementerian Kesihatan menerusi kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk melakukan ujian ke atas mereka yang bukan Islam.
''Cadangan dibuat hanya melibatkan umat Islam khususnya bakal pasangan pengantin yang bertujuan mengikut hukum syarak, kita tidak bercadang supaya ia meliputi kaum- kaum lain kerana ia bukan di bawah bidang kuasa kami.
''Kalau Kementerian Kesihatan berhajat lakukan demikian dengan kerjasama JPN, kita tiada halangan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan acara larian membabitkan 1,000 peserta sempena program Semarak Hadhari peringkat Wilayah Persekutuan 2008 di sini hari ini.
Hadir sama, timbalannya, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd. Aziz.
Zahid diminta mengulas kenyataan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugan Pandian yang mahu ujian HIV diperluaskan kepada semua warganegara tanpa mengira agama.
Sivamurugan berkata, ujian itu bertujuan memastikan generasi akan datang bebas daripada penyakit berbahaya itu demi kebaikan jangka panjang dan memelihara genetik keluarga.
Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa semua bakal pengantin beragama Islam wajib menjalani ujian saringan HIV bermula tahun depan.
Ahmad Zahid menegaskan, kerajaan bimbang jika cadangan tersebut diwajibkan kepada kaum lain, ia akan disalahtafsirkan.
''Biarlah tanggungjawab kami pada orang Islam sahaja," katanya.
Mengulas mengenai keputusan kerajaan menangguhkan cadangan pengambilalihan Institut Jantung Negara (IJN) oleh Sime Darby Bhd. beliau berkata, keputusan itu jelas memperlihatkan keprihatinan jemaah menteri terhadap kegelisahan sosial rakyat.
Katanya, kerajaan mahu mengelakkan persepsi negatif rakyat terhadap projek penswastaan yang pernah dilakukan di sesetengah organisasi sehingga menimbulkan pandangan negatif.

No comments: