KUALA LUMPUR . - Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM200 juta daripada 78,000 pembayar pada tahun depan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, peningkatan sebanyak RM15 juta atau 8.1 peratus itu dapat dicapai setelah jumlah pengutipan zakat sebanyak RM185 juta dicatatkan menjelang akhir tahun ini. Menurutnya, ia didorong dengan keyakinan individu terhadap institusi zakat yang semakin meningkat dan penambahan kaunter pembayaran zakat serta kemudahan yang disediakan oleh PPZ- MAIWP. "Kesedaran umat Islam untuk mengeluarkan zakat dari hari ke hari semakin memberangsangkan. Ini dapat dibuktikan melalui statistik kutipan zakat perniagaan dari bulan Januari hingga November lalu mencatatkan kutipan sebanyak RM23.89 juta. "Pada hari ini pula, sebanyak RM1.238 juta wang zakat telah diagihkan kepada golongan memerlukan termasuk fakir, miskin dan mualaf. Inilah tujuan zakat sebenarnya," katanya pada sidang akhbar selepas majlis Penyerahan Zakat Perniagaan dan Agihan 2008 di sini semalam. Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan berkata, PPZ-MAIWP kini sedang dalam perbincangan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mendapatkan rebat cukai ke atas zakat perniagaan. "Perkara ini telah dirujuk kepada Kementerian Kewangan dan kami masih menunggu keputusannya. Ia bertujuan meringankan beban kewangan syarikat dan secara tidak langsung membantu mereka yang memerlukan," jelasnya. Terdahulu, beliau menerima pembayaran zakat perniagaan sebanyak RM1.074 juta daripada tujuh organisasi yang terdiri daripada Bank Islam Malaysia Bhd. berjumlah RM500,000, Dagang Net Technologies Sdn. Bhd. (RM200,000) dan Telekom Malaysia Bhd. (RM145,479.64). Felcra Prosessing & Engineering Sdn. Bhd. turut mengeluarkan zakat perniagaan berjumlah RM84,194.80, Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka Bhd. (RM69,087.29), Bank Simpanan Nasional (RM43,000) dan Koperasi Perumahan Angkatan Tentera Bhd. (RM32,669.31). Pada majlis yang sama, PPZ- MAIWP juga mengagihkan zakat sebanyak RM1.238 juta kepada sembilan individu dan organisasi yang terdiri daripada Skim Bantuan Am Pelajaran, Skim Bantuan Kewangan Bulanan dan Skim Bantuan Perniagaan. Selain itu, sumbangan turut diberikan kepada Skim Bantuan Peralatan Pernafasan, Skim Peralatan Surau, Skim Peralatan Barangan Persekolahan, Skim galakan Hafaz al-Quran dan Skim Bantuan al-Quran Mushaf Uthmani. |
Monday, December 22, 2008
PPZ-MAIWP SASAR KUTIPAN ZAKAT RM200 JUTA 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment