Tuesday, November 18, 2008

PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT

(Ucapan YB Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi di Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia, pada 18hb Oktober 2008)
Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berusia lebih tiga suku abad. Dalam kedewasaan UPM ini, kebersamaan kita untuk memacu kecemerlangan Institusi Pengajian Tinggi ini, merupakan pertanggung-jawaban bersama terutamanya bagi seluruh warga besar UPM, termasuk para alumni unutk memperkasakannya, supaya universiti kesayangan kita ini akan lebih tersohor sebagai sebuah universiti yang bukan hanya mempertahankan kualiti akademik dan penyelidikannya, malah lebih jauh dari itu, berada sebagai salah sebuah universiti bertaraf global.

Bukan satu kemustahilan untuk merealisasikan matlamat itu. Malah pengajian pasca-siswazah yang turut disertai oleh golongan dalam karyawan dalam pelbagai bidang akan turut menjadi nilai-tambahnya. Biarpun golongan ini terdapat diantaranya telah mencecah usia setengah abad; yang sepatunya mula berkira-kira untuk menjaga cucu di waktu senggang atau sekurang-kurangnya mula mengintai ke masjid atau surau untuk beribadah lebih kuat bagi persediaan di alam barzakh.

Justeru, usia bukan menjadi faktor kekangan untuk menggarap lautan ilmu. Malah ilmu harus dituntut hingga ke liang lahat kerana tiada sebarang keterbatasan untuk menterjemahkan agenda pembelajaran sepanjang hayat.

Biarpun di luar sana terdapat kata-kata sinis yang mencemuh ‘maha-situa’ seperti itu; mahu apa lagi untuk mengejar tanpa noktah beberapa gulung ijazah tambahan yang hanya memuaskan rasa keegoaan, atau eskapisme (escapism) bagi mengabui kekurangan diri.

Sindiran yang lebih memualkan lagi; terdapat tanggapan dalam sekelumit tulisan oleh seorang kolumis di media cetak; apabila ijazah yang diperolehi melalui pengajian pasca-siswazah oleh gologan karyawan ini dianggap boleh dibeli. Kononnya kerja-kerja kursus telah diswastakan atau sekurang-kurangnya di‘out-source’kan.

Mengapa tidak terdapat lontaran pandangan yang memotivasikan atau menggalakkan lebih ramai golongan karyawan melalui proses formal pembelajaran sepanjang hayat. Mengapa mereka tidak mahu melihat; betapa kot dan talileher dicampakkan dan hanya pakaian simple dan slack’s untuk memperlihatkan kerendahan hati ketika berasimilasi di ruang kuliah atau seminar.

Tidakkah diketahui betapa terkejar-kejar untuk mempersiapkan ‘assignment’ atau kertas projek atau thesis yang kesemuanya mempunyai dateline yang telah ditentukan.. Untung juga para pensyarah kebanyakannya memahami keterbatasan waktu yang dihadapi.

Berapa ramai mereka yang berada di luar sana yang sanggup untuk mengenepikan protokol, makan nasi campur, di kantin atau solat berjamaah yang terkeja-kejar antara waktu kuliah. Malah, berapa ramaikah yang tahu, berapa kalikah persembahan kajian ditolak, dipinda, ditolak dan dipinda semula, baru diterima, oleh jawatankuasa penilaian tetapi dengan pindaan lagi. Berapa ramai pula yang tahu sewaktu ‘viva’ dilakukan, tajuk kajian diarah untuk menyesakkan nafas; sebelum mendapat kelulusan senate. Begitulah peritnya memperolehi segulung lagi ijazah di UPM ini.

UPM buka sebuah universiti yang mencetak dan menjual ijazah. UPM bukan universiti sembarangan. UPM merupakan sebuah universiti yang mempunyai sejarah panjang. Malah UPM akan terus terbilang dan harum namanya di persada pengajian tinggi; kerana UPM tentunya tidak akan berkompromi dengan kualiti akademik dan penyelidikan yang rendah; UPM namamu akan terus harum dan bunga ilmunya akan terus menguntum, mengindahkan lanskap pengajian tinggi di negara ini.

Saya ingin melontarkan saranan agar pembelajaran sepanjang hayat dijadikan agenda nasional. Tenaga professional dan tenaga kerja dalam pelbagai di negara ini hendaklah diberikan insentif untuk mengikut pengajian kesarjanaan dan doktor falsafah.

Sebagai sebuah negara yang akan mencapai taraf negara maju dalam tempoh 12 tahun dari sekarang; institusi pengajian tinggi disaran agar membentuk skima khusus untuk mengalakkan lebih ramai lagi yang akan mengikuti pasca-siswazah. Fleksibiliti dalam syarat kemasukan hendaklah terus dilakukan. Pengalaman bekerja harus diperkirakan untuk menjadi kriteria kemasukan dengan syarat-syarat akademik minimum.

Sektor perbankan dan institusi kewangan hendaklah menyediakan skima pembiayaan yang secukupnya untuk menterjemahkan agenda nasional bagi pembelajaran sepanjang hayat ini. Pertanggungjawab sosial dengan memberikan pinjaman tanpa faedah atau struktur kadar faedah yang lebih rendah di bawah garis kaedah pasaran dengan pembayaran yang diperpanjangkan. Malah sector perbankan Islam mungkin skima ‘qardul-hassan’ bagi meluaskan pertanggungjawab syar’iah.

Semua pihak hendaklah melihat, agenda nasional sebagai penanda aras baru untuk berasa syukur dapat hidup dalam sebuah negara yang mempunyai warga yang berilmu, professional dan berkualiti. Malah kelak Malaysia sebagai sebuah negara maju mempunyai rakyatnya yang seimbang dari segi keilmuan dengan duniawi dan ukhrawi, sesuai dengan firman Allah S.W.T.

Agenda nasional ini harus direalisasikan dengan penuh ‘political will’ dan iltizam yang tinggi.

1 comment:

arisa said...

Assalamualaikum tuan,

Izinkan saya gunakan bahan di blog ini sebagai rujukan bagi assignment saya. saya dapat dihubungi di neeza.deen@gmail.com. terima kasih.