Tuesday, November 18, 2008

ISU CABAR FATWA: NGO BUKAN ISLAM JANGAN MELAMPAU

Majlis Fatwa Kebangsaan merupakan badan yang amat dihormati oleh masyarakat Islam di negara ini. Keputusan Majlis Fatwa atas pelbagai isu yang berbangkit dibuat secara teliti dan cukup halus berasaskan rujukan daripada sumber agama yang melibatkan Quran, Hadis dan ijmak ulamak. Proses untuk mengeluarkan sesuatu fatwa cukup sistemetik dan dibuat secara ilmiah dengan melibatkan tokoh yang memiliki pelbagai kepakaran yang diperakui kebolehannya dalam agama.

Pada hemat saya, peranan fatwa dalam Islam adalah menjelaskan kesamaran yang berlaku yang melibatkan kepentingan ummah untuk tujuan dihormati dan dipatuhi. Jauh sekali untuk diingkari. Meningkari fatwa yang dikeluarkan bermakna mencabar Allah dan Rasulnya. Fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan tidak harus ditentang kerana ia melibatkan isu hukum hakam Islam yang cukup kemas lagi kukuh untuk ditakwilkan. Fatwa yang dikeluarkan mesti diterima kerana ianya bertepatan dengan syariat.

Tidak pernah berlaku dalam mana-mana isu yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan ditentang oleh orang Islam. Mereka faham dan akur dengan keputusan yang dibuat oleh Majlis fatwa. Umat Islam telah faham bahawa fatwa yang dikeluarkan adalah demi kemaslahatan umat Islam sahaja dan menjaga akan kepentingan umat dari tergelincir landasan. Justeru, fatwa yang dikeluarkan boleh mengelakkan umat Islam daripada memilih jalan sendiri dengan membuat tafsiran agama berasaskan dorongan perasaan dan naluri masing-masing.

Kali ini Fatwa mengenai Pengkid menjadi medan tempur baru. Tidak pernah berlaku kepada umat Islam sebelum ini bahawa fatwa yang dibuat demi kepentingan dan maslahah umat Islam telah dicabar oleh kelompok tertentu dan kalangan NGO bukan Islam.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz menjelaskan bahawa fatwa yang dikeluarkan ini sebagai panduan bagi menyelamatkan generasi muda melakukan perkara yang dilarang agama. Ertinya, dalam hal ini golongan bukan Islam tidak ada hak untuk mempertikai dan mempersoalkan keputusan fatwa tersebut. Apatalah lagi memperlekehkannya. Hujah Ketua Pengarah JAKIM ” kita minta pihak berkenaan tidak mencampuri hak orang Islam dalam menganuti agama Islam, apatah lagi mempertikai pihak berkuasa agama negara ini dalam menegakkan syiar Islam”.

Serentak dengan itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri. YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah memberi amaran keras kepada golongan NGO termasuk bukan Islam agar tidak mencabar kewibawan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan kerana ianya membabitkan hukum berdasarkan sumber nas Al Quran, Sunah,Ijmak dan Qias. Golongan ini perlau menghormati fatwa tanpa bersikap semberono mempertikaikan sesuatu hukum berasaskan logik akal semata-mata untuk kepentingan liberalisme bagi kelompok tertentu.

Tahap keberanian kelompok tertentu dan kumpulan NGO bukan Islam ini telah melepasi garisan kemarahan umat Islam. Sebenarnya mencabar Majlis Fatwa bermakna mencabar Majlis Raja-Raja Melayu . Ini kerana Majlis Fatwa dipilih oleh Majlis Raja-Raja Melayu dan mereka diberikan kuasa untuk memberikan garis panduan kepada umat Islam terhadap sesuatu yang tidak ada hukum. Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara bahawa adalah rakyat negara ini yang berani ketahap mencabar kewibawan raja-raja Melayu.

Keberanian yang tidak kena pada tempat dan bersifat membabi buta ini perlui dibendung. Golongan ini mesti diperingatkan agar tidak bertindak diluar batasan. Jangan mengajar umat Islam untuk menjadi lebih berani dalam episod ini yang melibatkan golongan yang mencabar mereka berada dalam keadaan tidak djelas disegi hak dan batasan bersuara dan berdemontrasi. Jangan curahkan minyak untuk menyalakan api persengketan.


Sepatutnya kelompok dan golongan NGO bukan Islam yang tidak faham peranan Majlis Fatwa Kebangsaan dan fungsi fatwa yang dikeluarkan memohon penjelasan dalam majlis yang mereka boleh anjurkan. Mereka kena ingat bahawa fatwa, hukum, peraturan dan sebagainya bukanlah bertujuan menyekat kebebasan dan bersifat mengongkong. Sebaliknya memperbetulkan manusia supaya kembali kepada fitrah yang tetapkan agama. Agama bukan penyekat tetapi penyelamat manusia sejagat dan pemandu kepada umat manusia untuk patuh kepada nilai yang telah ditetapkan oleh Allah.

Tindakan Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Ivy Josiah yang mempertikaikan fatwa berkaitan dan menyifatkannya sebagai mahu mengongkong kebebasan wanita disamping menjadikan negara ini dipandang serong serta ditertawakan negara luar amat dikesali dan lebih bersifat emosi yang tidak terkawal semata-mata kononnya untuk memperjuangkan kebebasan.

Amat malang kalaulah kebebasan itu ditafsirkan sebagai bebas untuk berperilaku sesuka hati mengikut naluri dan kerakusan nafsu tanpa perlu mengikut undang-undang. Tidak ada dalam dunia ini kebebasan yang melampau yang melibatkan negara dan penghuninya. Sebaliknya kebebasan sebenar adalah bermaksud memandu manusia secara lancar dan mengelakkan diri dari terbabas kehidupannya dan fatwa yang dikeluarkan bertujuan menjadikan manusia lebih berhemah dan memahami hakikat diri sewaktu memandu diri dalam arus kehidupannya.

Tidak elok kalau isu ini sengaja dimainkan untuk mengaut keuntungan populariti perbadi atau pertubuhan yang melibatkan dirinya. Apatah lagi apabila pertikaian tersebut hanyalah dilandaskan kepada emosi dan pandangan peribadi semata-mata. Apakah peraturan itu sesuatu yang tidak baik ? Bukankah melalui peraturan dan peringatan kepada manusia itu menjadikan manusia lebih tersusun, beradab dan lebih mengenali hakikat diri untuk dibandingkan dengan binatang yang langsung tidak dikawal oleh aturan dan peraturan.

Janganlah kerana kejahilan kita untuk memahami peranan dan tanggungjawab badan lain maka kita mengambil jalan mudah untuk membuat pentafsiran sendiri terhadap sesuatu isu itu. Pepatah orang tua ada menyebut ” malu bertanya sesat jalan” . Jangan menyalahkan orang lain kerana kita tidak bertanggungjawab kepada diri kita sendiri apatah lagi kepada orang lain untuk sama-sama membina ketamadunan manusia.

No comments: