Wednesday, October 22, 2008

PRINSIP MEMILIH PIMPIN NEGARA SEPERTIMANA YANG DIGARISKAN ISLAM

1. MENUNAIKAN TANGGUNGJAWAB DAN BERAMANAH
Prinsip Islam telah menggariskan bahawa pemimpin yang melaksanakan sesuatu amanah itu mestilah menjalankannya dengan betul dan benar bukan kerana ia takut kepada manusia tetapi kerana percayakan kepada Allah S.W.T. Sebagai amaran, Al Quran menjanjikan kepada orang-orang yang melampaui batas iaitu mereka yang melakukan penipuan, berkepentingan dan tidak beramanah dan sebagainya akan menerima balasan akibaat perbuatannya di dunia. Di akhirat pula akan diseksa dengan api neraka. Oleh itu mereka yang diamanahkan perlu menjalankaan tanggungjawab dengan cekap dan sempurna.
Sabda Rasulullah S.A.W. Maksudnya : “Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang itu membuat sesuatu perkara ia melakukannya dengan tekun (memperbaiki dan mempertingkatkannya)” (Riwayat Al-Baihaqi) Maksudnya : “Sesungguhnya Allah kasih kepada hambaNya yang berusaha (bekerja). Sesiapa yang berusaha dengan penat letih mencari nafkah keluarga yang dibawah tanggungannya adalah mendapat pahala seperti orang yang berjuang pada jalan Allah.” (Riwayat Ahmad) Maksudnya : “Sesungguhnya Allah Ta’ala suka melihat hambaNya berusaha berpenat letih mencari rezeki yang halal.” (Riwayat Ad-Dailami)
2. KEMANTAPAN
Kemantapan ialah satu keperluan bagi menjalankan kewajipan. Islam menganggap kecacatan dan kelalaian terhadap tanggungjawab dalam menjalankan sesuatu kerja yang diamanahkan akan dikenakan balasan yang setimpal. Kegagalan mempraktikkan dan kemantapan kepimpinan bermakna mendedahkan diri kepada kelemahan pengurusan. Memantapkan kepimpinan dan daya pengurusan amat dititik beratkan oleh Islam sehingga pancaran kepimpinan dalam Islam tanpa mengambil kira tua atau muda tetapi yang ditekankan ialah kemampuan memantapkan pengurusan dari membuka ruang-ruang kelemahan.
3. KASIH SAYANG DAN BERBUAT BAIK
Sifat penyayang terhadap sesama manusia sebenarnya satu syarat untuk mendapat rahmat Allah, sifat ini tidak boleh dilihat secara terasing dari prinsip-prinsip lain. Sifat kasih sayang yang dipraktikkan pula janganlah sampai mengorbankan keadilan. Misalnya semasa pemerintahan Rasulullah S.A.W. di Madinah baginda telah memerintah dengan adil dan saksama walaupun masyarakat ketika itu berbilang kaum dan agama. Ini telah dapat melahirkan sifat tolong-menolong dan kasih sayang antara mereka.
Banyak ayat-ayat al-Quran yang menyeru untuk melakukan perkara ini. Misalnya, firman Allah S.W.T. yang bermaksud: Maksud ayat; “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki.” (An Nisaa’ (4), ayat 36)
4. BEKERJASAMA DALAM PASUKAN
Islam menggalakkan umatnya melaksanakan ibadah khususiah dan umumiah secara berjemaah. Kebanyakkan ibadah diberikan pahala yang lebih sekiranya dilakukan secara berjemaah daripada berseorangan. Sebagai contoh, pahala sembahyang berjemaah adalah dua puluh tujuh kali ganda dari sembahyang berseorangan. Walau bagaimanapun, untuk menjayakan pekerjaan secara berjemaah ia memerlukan kepada sifat kerjasama yang padu. Ajaran Islam menggalakkan kepada kesatuan yang melarang dari berpecah belah. Firman Allah S.W.T. bermaksud: Maksud ayat; “Dan hendaklah kamu bertolong-tolong untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (Al Maidah (5), ayat 2) Maksud hadis; “Hubungan orang Mukmin dengan orang Mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan yang menguatkan di antara satu dengan yang lain.” (Riwayat At Tabrani) Maksud hadis; “Bandingan orang-orang Mukmin yang saling sayang menyayangi dan berlemah lembut di antara mereka seperti satu tubuh badan yang apabila satu anggota merasa sakit menyebabkan seluruh badan untuk sama-sama menanggung derita dan berjaga malam .” (Riwayat Ahmad) “Bilamana Rasulullah S.A.W. bersama-sama dalam perjalanan bersama para sahabat, mereka telah menghabiskan masa malam itu di sebuah tempat perkhemahan. Sebaik sahaja mereka sampai, Rasulullah S.A.W. terus mengumpul kayu api untuk dijadikan bahan masakan. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Kenapalah anda menyusahkan diri anda dengan melaksanakan tugas-tugas tersebut sedangkan kami berada di sini untuk membuat kerja-kerja berkenaan? Rasulullah S.A.W. menjawab, “Tidak! Tidak! Ini adalah tugasku untuk berkongsi tanggungjawab dalam apa perkara yang perlu dilakukan.” Baginda pun keluar dan terus mengumpul kayu api yang diperolehi dari hutan.” Kesimpulannya, kisah ini membuktikan satu contoh kepimpinan di mana pemimpin berkongsi dan membantu orang (pegawai-pegawai) bawahan dengan kerja-kerja yang tertentu apabila diperlukan.Pemimpin yang tidak boleh bekerja dalam satu pasukan mestilah bersedia untuk mengundurkan diri.
5. PERANCANGAN ( BERVISI DAN BERWAWASAN)
Perancangan bukanlah satu perkara asing dalam peradaban Islam. Jika keadaan menggambarkan sebaliknya, ini adalah disebabkan wujudnya satu penyelewangan daripada prinsip-prinsip Islam. Islam menyarankan supaya perancangan dibuat sebelum sesuatu perkara dilaksanakan. Sebagai sontoh, perjalanan (sirah) Nabi S.A.W. adalah dilakukan secara berperancangan. Banyak sekali contoh-contoh yang dipaparkan dalam al-Quran dan al-Hadith mengenai perkara ini. Pertama, peristiwa penghijrahan Rasulullah S.A.W. dan para sahabat ke Madinah telah didahului dengan satu perancangan yang rapi. Ini telah digambarkan melalui jangka masa penempatan baginda semasa berada di Mekah selama 13 tahun dan penempatan di Madinah selama 10 tahun. Keduanya, penyewaan telaga yang dimiliki oleh Yahudi di Madinah selepas penghijrahan Rasulullah S.A.W. Perancangan ini bertujuan untuk membina ekonomi bagi pembangunan umat Islam yang berada di Madinah yang ketika itu terdiri daripada orang-orang Ansar dan Muhajirin.
6. PENGAWASAN DAN TINDAKAN SUSULAN
Peranan pengurus ialah bukan sahaja memberi arahan kepada orang bawahan, tetapi mereka hendaklah mengawal secara efektif segala arahan-arahan yang diberikan itu. Dengan ini tidak syak lagi bentuk pengawasan dan tindakan susulan merupakan ciri-ciri pengurusan yang dipentingkan dalam pengurusan Islam. Sebagai contoh, Saidina Umar telah membuat satu peraturan di mana tentera-tentera Islam tidak dibenarkan keluar lebih 4 bulan. Kisah ini berasaskan di mana beliau bertemu dengan seorang isteri tentera Islam yang bersedih dan merintih kerana suaminya telah lama berada di medan perjuangan. Beliau kemudiannya telah merujuk pendapat ini kepada anaknya Habsah dan bertanyakan…”Berapa lamakah boleh seorang wanita berpisah atau berjauhan dengan suami? Habsah lalu menjawab, “Masanya tidak melebihi 4 bulan.”
7. AMANAH DAN TIDAK KHIANAT
Pemimpin harus menganggap peluang memimpin sebuah organisasi itu sebagai satu amanah untuk menerajui organisasi tersebut mencapai ke tahap yang cemerlang. Amanah bukanlah satu keistimewaan tetapi sebagi satu tanggungjawab dan merupakan suatu perkara yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Ia menentukan masa hadapan sesebuah masyarakat. Semua peranan yang dimainkan oleh setiap individu berkisar di sekitar amanah yang telah diletakkan ke atas dirinya. Manusia tidak boleh melepaskan dirinya dari menunaikan amanah yang telah dipertanggungjawbkan kepadanya. Salah satu daripadanya ialah urusan pentadbiran yang merupakan satu urusan yang mesti dipelihara da dikawal tanpa dicemari oleh unsur-unsur yang merosakkan. Setiap orang adalah bertanggungjawab untuk memperbaiki sebarang kerosakan yang berlaku dalam urusan pentadbiran kerana itu adalah satu amanah yang dipikul kepadanya. Setiap orang mesti menunaikan amanah kepada Tuhannya, dirinya, keluarganya, majikannya, masyarakatnya dan negaranya. Amanah dalam kerja juga dijelaskan di dalam al-Quran. Firman Allah yang bermaksud : Maksud ayat; “Wahai orang-orang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasulnya; (Janganlah) mengkhianat amanah-amanah kamu sedangkan kamu mengetahui (salahnya).” (Al-Anfaal (, ayat 27)
Amanah ialah satu intipati dan kesedaran bahawa segala yang dipertanggungjawabkan perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya dan perlu diinsafi pada setiap masa dan tempat. Dengan perkataan lain, setiap urusan mesti dianggap sebagai amanah daripada Allah dan patut diusahakan dengan paling efisyen bagi mengelakkan daripada berlakunya kerosakan dan kemusnahan kepada masyarakat .
8. IKHLAS DAN RENDAH DIRI
Islam menganggap niat yang ikhlas dalam segala perbuatan amat penting dan ia perlu wujud sepanjang masa. Perlaksanaan tanggungjawab memerlukan setiap individu bekerja dengan hati yang penuh ikhlas. Sikap ini akan menghasilkan kecekapan dan produktiviti yang tinggi. Seorang yang ikhlas ia tidak akan menipu dan memudaratkan orang lain dengan sewenang-wenangnya. Ini seperti dijelaskan di dalam al-Quran yang bermaksud: Maksud ayat; “Dan juga orang-orang yang membelanjakan hartanya dengan menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan mereka tidak pula beriman kepada Allah dan tidak juga beriman kepada hari akhirat. Dan sesiapa yang (mengambil) syaitan itu menjadi kawannya, maka seburuk-buruk kawan ialah syaitan.” (An-Nisaa’ (4), ayat 3 Maksud hadis; “Sesunggunya Allah S.W.T. tidak memandang kepada rupa paras dan harta benda kamu tetapi Allah hanya memandang kepada niat hati dan amalan-amalan kamu.” (Riwayat Muslim)
9. SENTIASA MEMPERTINGKAT PENGUASAAN ILMU
Islam menfardhukan Muslimin menuntut ilmu pengetahuan dan mencapai prestasi yang cemerlang. Ilmu pengetahuan serta kod etika Islam telah banyak menghasilkan peradaban Islam. Justeru itu, ia menggalakkan pencapaian tamadunnya berlandaskan teknologi dan ilmu. Pada masa ini, aspek research and development (kajian dan pembangunan) adalah amat penting di dalam satu-satu organisasi. Salah satu unsur kajian ialah pembacaan yang meluas. Ini bertepatan dengan ayat al-Quran yang mul-mula diturunkan yang menyerukan supaya manusia membaca (Iqra’): Firman Allah Ta’ala yang bermaksud: Maksud ayat; “Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar melalui pen dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahui.” (Al-‘Alaq (96), ayat 1 – 5) Maksud ayat; “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna (Az-Zumar (39), ayat 9) Maksud hadis; “Sesiapa yang berkehendakkan dunia maka ia mencari ilmu dan sesiapa yang berkehendakkan akhirat maka hendaklah ia mencari ilmu begitu juga sesiapa yang hendak mendapat kedua-duanya (dunia dan akhirat) maka hendaklah ia menuntut ilmu.” (Athar Imam Al-Syafie)
10. TIDAK MENONJOLKAN DIRI UNTUK MENJADI PEMIMPIN
Islam tidak pernah membenarkan pemimpin untuk menojolkan dirinya kepada orang lain supaya diangkat dirinya sebagai pemimpin. Seperti juga imam solat, pemimpin samada ditunjuk atau menawarkan diri jika difikirkan layak setelah menyedari mampu dan berupaya untuk memimpin. Jangan mengangkat sesorang pemimpin itu kerana kepentingan peribadi dengan mengenepikan peluang dan hak orang lain yang lebih layak atau kita menggunakan wang ringgit dan kekayaan untuk mempengaruhi orang lain supaya mengangkat diri kita sebagai pemimpin.Sedarilah setiap perbuatan kita akan dihitung diakhirat nanti dan dipersoalkan kepertanggungjawaban kita menjadi pemimpin atau memilih pemimpin.
KESIMPULAN
Pilihlah pemimpin yang layak bukannya atas kepentingan yang lain daripada yang dianjurkan oleh agama.

No comments: