SHAH ALAM 19 Nov. - Kerajaan Pusat akan meneruskan kerjasama dengan lima negeri yang dikuasai pembangkang dalam mempromosi produk dan perkhidmatan halal berasaskan syariah walaupun pemimpin utamanya berbeza ideologi politik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahidi Hamidi berkata, kerajaan Pusat mengamalkan dasar dan pentadbiran yang dituntut Islam tanpa meminggirkan negeri yang tidak sealiran dengan Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, contoh terbaik ialah i-City di Selangor yang dikuasai pakatan pembangkang tetapi kerajaan Pusat tetap membantu mempromosikan produk dan perkhidmatan halalnya kepada pelabur asing serta tempatan. Menurutnya, kerjasama erat juga diadakan antara kerajaan Pusat dengan kerajaan Pulau Pinang untuk mewujudkan hab halal di utara Semenanjung.
''Saya telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng untuk mempromosikan produk halal dengan mengetepikan perbezaan politik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Islam Antarabangsa di i-City di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid menafikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terlibat membina pintu gerbang berbentuk rebana ubi di tepi Lebuh Raya Persekutuan berdekatan bangunan UEM dan bangunan Persatuan Bekas Pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCOBA) di Jalan Syed Putra.
Beliau berkata, Jakim mempunyai banyak tanggungjawab lain yang perlu diutamakan bukannya terbabit dalam pembinaan pintu gerbang itu.
Semalam, akhbar Malay Mail melaporkan bantahan penduduk terhadap projek itu kerana mendakwa bekalan air bersih dihentikan untuk tempoh tertentu bagi memberi laluan kepada projek tersebut selain menyebabkan kesesakan lalu lintas.
No comments:
Post a Comment