Friday, November 21, 2008

50,000 AL-QURAN DIEDAR DI HOTEL

PUTRAJAYA 20 Nov. - Sebanyak 50,000 naskhah al-Quran dan terjemahannya bakal dicetak untuk ditempatkan di bilik-bilik hotel seluruh negara tidak lama lagi. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (gambar) berkata, sebagai permulaan naskhah al-Quran tersebut akan ditempatkan di hotel-hotel bertaraf lima bintang.

Katanya, usaha penyebaran dakwah kepada penginap hotel itu telah mendapat kerjasama daripada Kementerian Pelancongan dan Persatuan Pengusaha Hotel Malaysia (MAH).
''Pendekatan sebegini bertujuan menyebarkan ajaran Islam kepada para pelancong untuk membolehkan mereka memahami dan mengkaji isi kandungan Islam itu sendiri.

''Jika selama ini kita tahu adanya kitab Injil diletakkan dalam bilik hotel, apa usaha kita pula untuk menempatkan al-Quran untuk memberi informasi kepada mereka bahawa Islam menganjurkan keamanan bukan keganasan," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan dua Juzuk Pertama Tafsir Pedoman Muttaqin terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini hari ini.

Tafsir yang ditulis oleh bekas Pensyarah Akademi Islam Universiti Malaya, Dr. Abdul Hayei Abdul Shukor itu bakal siap sepenuhnya sebanyak 30 juzuk pada tahun 2022 membabitkan peruntukan sebanyak RM1.3 juta. Tafsir Pedoman Muttaqin menggunakan pendekatan Ma'thur iaitu pentafsiran al-Quran dengan al-Quran, al-Quran dengan al-hadis dan al-Quran dengan ijtihad sahabat nabi iaitu kesinambungan kepada kitab tafsir terdahulu iaitu Tafsir Pimpinan Ar-Rahman.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Pengerusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin; Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dan para mufti setiap negeri.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Jakim akan sentiasa memantau kedudukan al-Quran itu di bilik-bilik hotel tersebut agar ia ditempatkan di tempat yang mulia, baik dan selamat.
''Kita akan pastikan mereka letak dalam laci bilik hotel bukan di merata tempat bagi menjaga kesucian al-Quran itu," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, seramai 30 orang cacat penglihatan bakal menjadi penghafal al-Quran apabila mereka diterima masuk ke Darul al-Quran Kuala Kubu Bharu, Selangor, Disember ini. Menurut beliau, kumpulan pertama pelajar istimewa terbabit akan menggunakan al-Quran tulisan braille dalam usaha memberi ruang dan peluang kepada mereka menghafal al-Quran.
''Mungkin dalam tempoh 10 tahun lagi kita akan melahirkan 300 penghafal al-Quran cacat penglihatan yang bakal menjadi imam atau pemimpin negara suatu hari nanti," katanya.

No comments: