KUALA LUMPUR 19 Nov. - Ketua kumpulan ajaran sesat Ayah Pin atau Ariffin Muhamad, 65, akan dikenakan tindakan undang-undang sivil dan syariah apabila berjaya ditangkap pihak berkuasa di Terengganu kelak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sudahpun mengenal pasti kedudukan Ayah Pin dan akan bertindak bila-bila masa sahaja terhadapnya.
"Setakat maklumat yang saya terima, pegawai pemantau JHEAT sudah tahu di mana Ayah Pin disembunyikan.Mereka akan bekerjasama dengan pihak polis untuk mengeluarkannya dan ambil tindakan undang-undang sivil dan syariah terhadapnya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Institut Penyelidikan Produk Halal Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini. Ahmad Zahid diminta mengulas mengenai perkembangan terkini ketua kumpulan ajaran sesat itu yang kini dilaporkan bersembunyi di Terengganu.
Mengenai pengikut Ayah Pin, Ahmad Zahid berkata, bilangan mereka kini sudah tidak ramai dan Jakim serta JHEAT giat membantu memulihkan akidah bekas pengikutnya. Ditanya mengenai tindakan penulis blog, Raja Petra Kamaruddin yang membuat laporan polis mendakwa dia dihalang menunaikan solat Jumaat semasa dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Ahmad Zahid berkata, ia tidak sepatutnya dijadikan isu untuk memburuk-burukkan Islam.
"Tahanan ISA beragama Islam sememangnya tidak dibenarkan menunaikan sembahyang Jumaat atas sebab-sebab tertentu. Janganlah hendak jadikan ini sebagai alasan untuk memburukkan Islam.
"Saya tidak tuduh tapi mengapa bila dia ditahan ISA baru hendak mempersoalkan mengenai dia tidak dapat tunai sembahyang Jumaat?," katanya.
Ahmad Zahid diminta mengulas mengenai tindakan Raja Petra semalam yang membuat laporan polis terhadap pegawai pusat tahanan ISA Kamunting mendakwa dia tidak dibenarkan menunaikan sembahyang Jumaat semasa ditahan pada September lalu. Raja Petra juga turut membuat laporan polis mendakwa Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) telah menghina agama lain pada satu sesi ceramah yang diadakan di pusat tahanan itu.
Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said membidas Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) kerana dilihat tidak proaktif dan lemah dalam menyelesaikan kes penahanan pengasas 'Kerajaan Langit', Arifin Muhamad, 65, atau lebih dikenali sebagai Ayah Pin.
Menurut Ahmad, kes berkenaan tidak wajar dibiarkan berlarutan kerana JHEAT telah dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikannya. Katanya, kelemahan itu menyebabkan Ayah Pin masih terlepas daripada penguatkuasaan.
''Jika terbukti apa yang dilakukan oleh Ayah Pin selama ini salah dan melanggar peraturan, kenapa perlu takut ambil tindakan.
''Dulu kita cari dia dan apabila dia balik, kita takut untuk menangkapnya,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Kuala terengganu hari ini.
Beliau turut melahirkan perasaan kesal kerana masih belum menerima sebarang laporan mengenai kedudukan siasatan kes Ayah Pin dari JHEAT. ''Sehingga hari ini saya belum menerima apa-apa laporan mengenai kes Ayah Pin daripada JHEAT," ujarnya. Beliau memberitahu, sepatutnya JHEAT bertindak menyelesaikan masalah tersebut dan bukannya membiarkan keadaan berterusan.
''Kita perlu tangkap dia dan dakwa mengikut enakmen yang ada," katanya. Beliau memberitahu, JHEAT seharusnya bekerjasama dengan pihak polis untuk menyelesaikan isu penangkapan Ayah Pin.
No comments:
Post a Comment