Wednesday, October 22, 2008

ZAHID IKRAR PASTIKAN UMNO TERUS RELEVEN JIKA TERPILIH

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berjanji untuk bekerja kuat dan menentukan Umno terus relevan pada rakyat menerusi penjenamaan semula jika terpilih sebagai Naib Presiden pada pemilihan parti, Mac depan. Ahmad Zahid yang melepasi kuota dengan memperoleh 36 pencalonan setakat ini berkata, beliau akan menterjemahkan rasa terima kasih dengan membantu Umno serta bahagian yang mencalonkannya memperkukuh pentadbiran serta perjalanan aktiviti parti pada peringkat akar umbi. Bagaimanapun, beliau menegaskan, beliau tidak menanam budi untuk meraih sokongan menghadapi persaingan itu sebaliknya bersandarkan kepada semangat setia kawan selain rekod perkhidmatannya dalam parti selama ini.

“Saya tidak pernah meletakkan diri dalam keadaan selesa dengan jumlah pencalonan diperoleh dan tentu sekali rakan saya yang berhajat untuk bertanding Naib Presiden (Umno) akan berusaha supaya mereka melepasi kuota. “Ini adalah suatu yang amat dialu-alukan supaya kemeriahan pertandingan itu dapat dirasakan. Bagi saya, jika bahagian mahu meneruskan pemberian pencalonan mereka kepada saya, diucapkan berbanyak terima kasih,” katanya. Beliau berkata demikian selepas majlis simbolik penyerahan sumbangan dan penghargaan sahabat korporat Tabung Haji musim haji 1429H di sini, semalam.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, 27,000 jemaah akan berlepas ke Tanah Suci pada musim haji ini dengan penerbangan pertama dijadualkan pada 30 Oktober, manakala penerbangan terakhir pada 3 Disember depan. Penerbangan pertama jemaah haji kembali ke tanah air pula ialah selepas wukuf mulai 14 Disember depan. Yang di-Pertuan Agong akan mencemar duli melepaskan kumpulan jemaah haji pertama dari Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya, pada jam 7.30 pagi. Ahmad Zahid juga akan menyusuli ke Tanah Suci pada pertengahan musim atas tugas rasmi dan membuat pemantauan.

No comments: