Sunday, June 8, 2008

TABUNG HAJI TANGGUNG KOS JEMAAH RM70.2 JUTA

Oleh Mohamed Farid Noh

GOMBAK: Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) akan menanggung kos tambahan sebanyak RM70.2 juta atau RM2,600 bagi setiap jemaah pada musim haji tahun ini, berikutan perbelanjaan pembiayaan penginapan yang melonjak lebih 300 peratus.

Peningkatan pembiayaan penginapan itu berpunca daripada kekurangan 500,000 katil atau tempat penginapan jemaah di Makkah berbanding musim haji sebelum ini akibat kerja pelebaran Masjidil Haram, menjadikan kawasan penginapan 300 hingga 800 meter dari tempat suci itu terpaksa dirobohkan. Tahun lalu, Tabung Haji hanya membelanjakan RM36 juta sebagai bantuan menampung kekurangan perbelanjaan, termasuk membiayai kos kenaikan tambang jemaah akibat kenaikan harga minyak serta sewa penginapan yang tinggi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata langkah pemberian subsidi itu terpaksa diambil berikutan tambang menunaikan haji tahun ini tidak dinaikkan. “Perkara itu diputuskan selepas saya menghadiri mesyuarat tahunan antara Menteri Haji Arab Saudi dengan Menteri Agama dari seluruh negara Islam dan negara yang mempunyai penduduk minoriti beragama Islam di Arab Saudi, baru-baru ini.

“Dalam mesyuarat itu, kita membincangkan masalah Tabung Haji yang tidak lagi mempunyai tempat penginapan berdekatan dengan Masjidil Haram. Akhirnya, kita memutuskan untuk menyewa bangunan hotel, apartmen dan rumah penginapan yang paling hampir dengan Masjidil Haram tetapi kadar sewaannya pula meningkat lebih 300 peratus daripada harga sebelum ini berikutan kekurangan tempat penginapan.

“Bagaimanapun, kerajaan mahu mempertahankan harga lama tambang jemaah haji dan memutuskan Tabung Haji akan menambahkan subsidi RM2,600 untuk setiap jemaah daripada keuntungan yang diperolehnya. Kerajaan Arab Saudi juga memberi jaminan jemaah haji Malaysia akan mendapat kemudahan seperti dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Konvokesyen dan Ulang tahun Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM), di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dekat sini, semalam. Hadir sama, Pemangku Rektor UIAM, Prof Datuk Dr Md Tahir Azhar; Presiden merangkap Guru Utama PSSCM, Ishak Itam dan Naib Presiden PSSCM, Maideen Kadir Shah. April lalu, Tabung Haji dilapor mengekalkan tambang haji musim ini walaupun berdepan peningkatan kos berikutan kenaikan harga minyak, terutama kadar sewa penginapan yang melambung hingga 100 peratus.

Tahun lalu, tambang haji ialah RM8,973 di Semenanjung dan masing-masing RM9,054 dan RM9,096 di Sabah dan Sarawak. Mengikut laman web Tabung Haji, perbelanjaan yang dibayar jemaah haji itu meliputi bayaran pasport haji, tambang pergi balik, perkhidmatan pihak berwajib di Arab Saudi yang mengendalikan jemaah haji, iaitu muassasah mutawwif di Makkah, muassasah adillak di Madinah serta wakil bersatu di Jeddah. Kos lain termasuk sewa rumah penginapan di Makkah dan Madinah, pengangkutan bas di Tanah Suci, makan dan minum serta khemah di Arafah dan Mina.

Ditanya sama ada masalah kekurangan penginapan di Makkah akan menjejaskan kuota haji Malaysia, Ahmad Zahid berkata masalah itu tidak timbul kerana kuota haji negara kekal 27,000 atau 0.001 peratus daripada 27 juta penduduk Malaysia.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan Arab Saudi meminta semua negara yang menghantar jemaah haji mempertingkatkan kebajikan dan perubatan jemaah. “Mereka meminta setiap negara menyertakan doktor pakar dalam bidang tertentu supaya kebajikan dan kesihatan jemaah sentiasa terbela,” katanya.
(Dipetik daripada Berita Minggu)

No comments: