Sunday, June 8, 2008

ELAKKAN PERADUAN BERBENTUK JUDI

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini meminta syarikat swasta supaya menghindari kempen promosi yang mempunyai unsur perjudian hingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam negara ini.

Katanya bagi mengelakkan perkara itu berlaku, sewajarnya dunia korporat mendapatkan nasihat daripada pakar agama seperti Muzakarah Majlis Ulama dan Majlis Fatwa Kebangsaan, sebelum mengumumkan sesuatu promosi yang menawarkan ganjaran hadiah melalui peraduan yang banyak terdapat pada masa ini khususnya secara khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Cari dan ciptalah pertandingan lain kerana promosi seperti peraduan SMS dan menang dilihat hanya menguntungkan pihak penganjur tetapi jarang menguntungkan pihak pengguna."Bagi saya unsur-unsur perjudian meletakkan bahawa jika wang yang disumbangkan itu tidak kembali kepada orang itu, dan tidak memberi faedah, maka hukumnya judi dan judi itu haram," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program "Masih Ada Yang Sayang" anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sini.

Zahid mengulas kenyataan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada 4 Jun lepas, yang menegur peraduan SMS dan menang kereta, anjuran sebuah syarikat telekomunikasi tempatan kerana mempunyai unsur perjudian kerana bayaran perlu dibuat untuk menjawab setiap soalan sebagaimana judi "nombor ekor".

Zahid berkata Panel Syariah di bawah Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) akan bermesyuarat Selasa ini (10 Jun) untuk mengkaji isu itu dan langkah sewajarnya.Beliau berkata selain itu penulis blog di negara ini boleh membantu aktiviti badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengumpul dana dalam menjayakan sesuatu program kebajikan.

Katanya sekiranya semua penulis blog dapat mewujudkan dana kebajikan mereka sendiri maka banyak masalah dapat diselesaikan dengan lebih cepat.Zahid juga berkata lebihan kutipan wang zakat akan disalurkan kepada aktiviti kebajikan dan aktiviti sosial dakwah melibatkan penagih dadah dan aktiviti NGO seperti Persatuan Pengasih Malaysia.

Katanya sebelum ini lebihan wang kutipan zakat hanya digunakan untuk pembelian aset kekal yang kebanyakannya tidak menguntungkan rakyat beragama Islam secara sama rata.

Menurutnya sejak 2005 hingga 2007 sebanyak RM 22.6 bilion zakat dikutip oleh Pusat Pungutan Zakat dan Baitulmal seluruh negara dengan jumlah terbesarnya di Selangor sebanyak RM180 juta setahun dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur RM160 juta setahun.
-- BERNAMA

No comments: