Oleh Hasliza Hassan
GRADUAN Pengajian Islam (GPI) yang mahir ilmu agama boleh menguasai bidang lain apabila mereka mengikuti empat program latihan kerjaya dan keusahawanan yang diperkenalkan Dewan Amal Islam Hadhari (Damai) bermula 21 Mac tahun lalu. Empat program itu ialah Perbankan dan Kewangan Islam, Pembangunan Eksekutif (Korporat), Pembangunan Usahawan serta Jururunding dan Pelancongan Hospitaliti dengan kerjasama institusi perbankan, institut pengajian tinggi (IPT) dan kementerian berkaitan. Ketua Pegawai Eksekutif Damai, Amran Zakaria, berkata usaha meningkatkan kemahiran graduan itu dalam bidang lain bertujuan memberi nilai tambah kepada mereka supaya dapat bersaing dalam pasaran pekerjaan.
Kursus itu juga akan memberi latihan dan peluang kepada GPI mempamerkan skil sebagai peneraju, selain mendedahkan mereka kepada pelbagai disiplin ilmu termasuk pengurusan yang semakin penting dalam dunia globalisasi. "Selalunya graduan dalam bidang pengajian Islam akan mencari pekerjaan yang ada kaitan dengan hal agama saja. Dengan ada kemahiran lain, peluang kerja untuk mereka akan terbuka luas dan penguasaan bidang agama membolehkan mereka menterjemahkan pendekatan Islam dalam bentuk pelaksanaan kerja," katanya. Katanya, sejak diperkenalkan, Damai sudah menerima 1,552 permohonan dan daripada jumlah itu, 440 peserta ditawarkan untuk mengikuti kursus latihan Perbankan dan Kewangan Islam, Pembangunan Eksekutif (Korporat) dan Pembangunan Usahawan.
Amran berkata, penekanan supaya GPI memiliki kemahiran lain sebagai nilai tambah dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika melancarkan Karnival Kerjaya Asia Barat 2007 (MECC 2007) di Mesir. Dalam ucapan perasmian pada majlis berkenaan, Abdullah menekankan supaya pelajar yang mengikuti bidang pengajian Islam menambah nilai atas setiap perkara dirintis dan berani menceburi bidang baru di bawah Misi Nasional. Damai yang kini menjadi entiti di bawah Jabatan Perdana Menteri diamanah menterjemahkan pendekatan Islam Hadhari mengambil inisiatif memantapkan penguasaan ilmu kemahiran dan skil pengurusan GPI menerusi program Latihan Kerjaya dan Keusahawanan GPI. "Menerusi program ini, Damai mengadakan pakatan strategi dengan IPT, institusi perbankan dan syarikat tertentu bagi membolehkan GPI yang memohon mengikuti kursus pilihan mereka selama tiga bulan. "Hasrat kita, apabila tamat nanti GPI akan lebih berkeyakinan untuk memasarkan diri dengan kemahiran baru yang dikuasai. Kini kemahiran mereka bukan hanya dalam bidang agama, malah juga pengurusan kewangan, keusahawanan dan korporat," katanya.
Katanya, matlamat jangka panjang program latihan berkenaan untuk melahirkan lebih ramai GPI yang ditempatkan dalam pelbagai sektor, jabatan dan syarikat bagi memenuhi keperluan urusan keduniaan seiring pendekatan Islam Hadhari. Bagi program Perbankan dan Kewangan Islam, Damai mendapat kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM), Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM), Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM). Program Pembangunan Eksekutif (korporat) dibangunkan dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) membabitkan Fakulti Pengurusan Perniagaan, Fakulti Maklumat dan Sains Kuantitatif, Akademi Pengajian Bahasa serta Pusat Pemikiran dan Pemahaman Islam.
Damai menjalinkan kerjasama dengan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dalam usaha melahirkan usahawan baru daripada kalangan GPI. Damai kini dalam proses mencadangkan senarai 105 GPI untuk dipertimbangkan INSKEN bagi menjalani latihan program Mewujudkan Perunding Produk Halal yang dijangka dilaksanakan Julai ini. Mengenai kriteria pemohon yang ingin menyertai latihan anjuran Damai, beliau berkata, selain memiliki kelulusan dalam bidang pengajian Islam dari universiti tempatan atau luar negara diiktiraf, minat mempelajari kemahiran baru dan masih belum mempunyai pekerjaan tetap, adalah antara kriteria.
Amran berkata, bagi memudahkan urusan permohonan dan penawaran peserta program latihan itu, Damai akan mewujudkan pangkalan maklumat GPI yang mengandungi latar belakang graduan bidang pengajian Islam yang ingin mendaftar dengan Damai. Beliau berkata, pangkalan data itu akan menjadi pusat sehenti yang membolehkan Damai mengeluarkan surat tawaran kepada pemohon yang difikir layak apabila ada agensi menawarkan latihan bersesuaian untuk mereka. "Oleh itu, tidak perlu kita membuat iklan kerana semua maklumat sudah ada dalam pangkalan data. Jika ada agensi yang inginkan peserta, kita keluarkan daripada bank maklumat dan hantar surat tawaran kepada mereka. "Justeru, kita menggalakkan kira-kira 10,000 GPI di luar sana untuk menghantarkan maklumat berserta salinan ijazah mereka untuk dimasukkan ke pangkalan data.
Apabila maklumat diterima, kita akan maklumkan kepada pemohon," katanya. Katanya, Damai mensasarkan 3,000 GPI untuk menghantar maklumat bagi dimasukkan ke pangkalan data hingga akhir tahun ini dan maklumat lanjut mengenainya boleh diperoleh di laman web http://www.damaihadhari.org.my/.
(Petikan rencana Berita Harian 2/6/08)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment