Pengenalan
Islam Hadhari adalah suatu kaedah ( manhaj ) . Pendekatan Hadhari mencerakinkan kepertanggungjawaban kerajaan dalam mencapai matlamat. Sayangnya pendekatan ini menjadi isu politik yang menjadi medan pertembungan tanpa kesudahannya. Kalau pendekatan ini dimula dan digerakan di universiti tentu sekali tidak akan menjadi isu yang berlarutan. Sesetengah ilmuan agama menolak pendekatan ini secara emosional yang berasaskan semangat kebencian berpuak.
Di Selangor misalnya, yang halal menjadi haram dan yang haram menjadi halal . Isu babi yang jelas akan haramnya tetapi boleh menjadi halal apabila dilihat ada nilai komersial yang diperolehi darinya. Pendekatan Islam Hadhari yang merupakan suatu manhaj berasaskan nas dan dalil yang dikemukakan boleh diharamkan atas kehendak dan tuntuan emosi hasil pertembungan ideologi yang berbeza..
Pendekatan Islam Hadhari Menurut perspektif Islam dan Tafsiran Ulama
Menurut perspektif Islam, manusia diciptakan oleh Allah dengan potensi-potensi semula jadi yang memang bertujuan membawa kepada kelahiran tamadun. Ini bermakna kelahiran tamadun hanya bermula apabila manusia berupaya mengembangkan potensinya dan seterusnya memainkan peranannya sebagai khalifah yang memakmurkan bumi ini.
Bagi sarjana Islam seperti Ibn Khaldun mendefinisikan tamadun ialah kemuncak pembangunan yang berkait dengan peningkatan kemewahan, keindahan suasana dan minat kepada pelbagai aspek individu yang boleh mempertingkatkan kualitinya. Ini termasuk keperluan kepada bahan-bahan makanan, pakaian, peralatan rumah tangga dan sebagainya.
Bagi Sayyid Qutb tamadun Islam itu ialah segala bentuk kemajuan yang dihasilkan oleh sekumpulan masyarakat seperti sistem sosial pemerintahan, politik, ekonomi dan kebudayaan yang berteraskan syariat Allah serta bercirikan nilai-nilai moral Islam.
Muhammad Ramadan al-Buti dalam buku Manhaj al-Hadarah al-Insaniah fi al-Quran mendefinisikan tamadun sebagai tindakbalas antara manusia dengan alam dan kehidupan demi kebahagian dan kesenangan manusia. Oleh itu, menurutnya rukun tamadun yang asasi adalah tiga iaitu manusia, kehidupan manusia dan alam semesta. Yang dimaksudkan dengan manusia adalah kewujudan manusia melalui unsur akal, pemikiran dan kerohanian.
Di sinilah manusia perlu mengetahui hakikat kejadiannya yang dijadikan daripada tanah dan jalinan zuriatnya daripada air yang hina. Setiap manusia pasti akan menjadi tua dan akan mati. Hakikat kedua pula ialah manusia adalah makhluk yang dimuliakan oleh Allah atas seluruh makhluk yang lain.
Kedua-dua unsur tersebut bercantum dalam diri manusia untuk memikul amanah Tuhan dalam memakmurkan bumi ini. Al-Quran memberitahu sebab kemusnahan bangsa yang terdahulu adalah kerana mereka hilang pedoman untuk mengetahui hakikat dirinya dan mereka berpecah kepada dua kelompok iaitu kumpulan minoriti yang terdiri daripada kumpulan yang angkuh dan melampau. Kumpulan ini kebanyakannya terdiri daripada golongan pembesar (al-Mala') dan bangsawan.
Kumpulan kedua adalah majoriti iaitu golongan yang hina dan lemah yang kebanyakannya terdiri daripada rakyat biasa. Allah merakamkan bahawa kemusnahan kaum Firaun kerana kegilaan orang-orang yang angkuh sombong di kalangan mereka dengan sikap bermahajalela serta kerelaan orang-orang yang lemah di kalangan mereka untuk tunduk dan mengikut apa jua perintah yang mereka dikenakan.
Al-Quran juga secara jelas membuktikan bahawa tanggungjawab manusia yang utama adalah memakmurkan bumi ini. Tanggungjawab ini dapat dibuktikan apabila manusia mengetahui hakikat bahawa hukum-hukum yang berkaitan dengan hak manusia lebih banyak daripada hak-hak Allah. Kebanyakan hukum syarak menyentuh tentang hubungan sesama manusia dan hak-hak sesama mereka seperti muamalat, perkahwinan, hak berjiran dan hak berbakti kepada ibubapa dan sebagainya.
Hukum-hukum berkaitan persoalan tersebut lebih banyak daripada hukum-hukum berkaitan dengan hak-hak Allah seperti solat dan haji. Di samping itu, hak-hak Allah dibina atas dasar toleransi sementara hak-hak manusia dibina atas dasar yang ketat. Hak Allah boleh ditangguh atau diberi kelonggaran seperti membuka puasa bagi orang bermusafir atau sakit. Tetapi hak manusia tidak boleh dilonggarkan umpamanya ia harus membayar hutang walaupun ia jatuh miskin ataupun sakit.
Ini bererti bahawa mempersia-siakan sesuatu yang berkaitan dengan hak–hak Allah atau menghilangkannya dapat ditampung dan dihapuskan dengan bertaubat. Jika seseorang mati setelah melakukan taubat sedemikian, maka dia kembali kepada Allah dengan amalan yang bersih. Ini berbeza apabila menghilangkan sesuatu yang berkaitan dengan hak manusia ia tidak dapat dihapuskan melalui taubat kecuali setelah kita meminta maaf daripadanya. Ia tidak dapat ditampung melalui taubat dalam apa segipun. Ia dapat ditampung dengan mengembalikan hak yang dihilangkan di samping bertaubat.
Contohnya orang yang berhutang atau memfitnah orang lain. Dosa itu tidak akan terampun kecuali ia memohon maaf daripada mereka. Berdasarkan kepada kenyataan di atas, bahawa seseorang yang menghilangkan hak manusia, kemudian ia dengan tekun menjalani dan mempraktikkan hak Allah seperti solat, puasa dan haji maka perbuatan tersebut tidak memberi apa-apa makna dan dia mendustakan Allah.
Ini kerana jika jiwanya bersih, ia tidak mungkin membenarkan sedikitpun hak manusia dipersiakan olehnya. Jelas sekali bahawa tugas manusia adalah untuk mempratikkan kehidupannya secara terbaik sebagaimana yang digariskan dalam ajaran agama Islam.
Islam Hadhari sebagai suatu Manhaj (pendekatan)
Oleh itu, dalam merealisasikan perkara tersebut Kerajaan Malaysia telah memperkenalkan pendekatan Islam Hadhari yang memberi penekanan kepada aspek pembangunan yang menjurus kepada pembinaan peradaban.
Ia bukan sesuatu yang bersalahan dengan ajaran agama kerana sememangnya tugas manusia seperti yang digariskan dalam al-Quran adalah memakmurkan dunia dan membina tamadun yang cemerlang. Ia merupakan peradaban yang dicanai dengan pegangan Islam dan memberi fokus kepada usaha mempertingkat mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu, pembangunan insan, pembangunan kesihatan serta pembangunan fizikal.
Sepuluh prinsip utama diperkenalkan bagi memperkasa umat Islam agar berupaya menghadapi cabaran semasa, pengerak dan pendorong kepada peningkatan daya saing umat dan asas dalam mencapai kekuatan dalam semua bidang kehidupan. Abu Futuh Abu Mueim, seorang pemimpin Ikhwan al-Muslimun begitu kagum dengan pelaksanaan Islam Hadhari yang dilancarkan oleh Kerajaan Malaysia dan bertambah yakin bahawa Islam akan muncul sebagai tamadun dunia akan datang. Beliau mengulas bahawa Islam Hadhari yang ingin dilaksanakan itu sama seperti "Islam Syamil" yang dinyatakan dalam Ikhwan al-Muslimun yang meliputi kemanusiaan, ketamadunan dan keantarabangsaan.
Beliau juga menolak masa depan Islam melalui pendekatan kesufian mahupun pendekatan politik semata-mata. Hal sedemikian disebabkan pelaksanaan Islam diperlukan dalam semua bidang iaitu pembentuk pemikiran individu yang jelas, kemantapan akidah, peningkatan akhlak yang disinari dengan ibadat, berinteraksi dengan manusia secara terbaik dan kerjasama yang erat dalam politik dan kemasyarakatan, melakukan kebajikan kepada golongan miskin, mengalakkan kerja-kerja sosial sama ada dalam bentuk individu mahupun persatuan, pertumbuhan ekonomi yang adil dan saksama, serta memberi gambaran kesyumulan ajaran Islam kepada masyarakat dunia.
Menurutnya, inilah pemerintahan dan tamadun yang ingin didambakan oleh kita pada hari ini. Yang jelas, manhaj Islam Hadhari itu adalah suatu pendekatan yang berasaskan kepada pembangunan yang menjurus kepada pembinaan peradaban. Islam Hadhari juga adalah mengamalkan Islam sebagai satu pegangan yang memberikan fokus kepada mempertingkatkan mutu kehidupan sama ada dari segi ilmu, pembangunan fizikal dan insan, kesihatan, sistem ekonomi dan kewangan. Ianya berasaskan dua faktor terpenting iaitu ilmu dan pembangunan holistik.
Pertama, dalam bidang keilmuan, pihak pemerintah akan mengalakkan penyelidikan dan pembangunan, menjadi lebih kreatif untuk mencipta dan merekabentuk peralatan dan instrumen yang boleh membantu umat. Keduanya, Islam Hadhari memberikan penekanan secara menyeluruh dan holistik.
Pembangunan yang dimaksudkan di dalam konteks Islam Hadhari ialah yang menyentuh persoalan-persoalan pertanian, bio-teknologi, ICT dan lain-lain bidang yang menjadi kewajipan bersama yang dinamakan fardu kifayah. Masyarakat Hadhari akan menggunakan segala kekayaan sumber alam dengan baik yang dipacu oleh ilmu, sains dan teknologi, serta akal budi untuk kesejahteraan umat.
Masyarakat Hadhari bijak lagi cemerlang menguruskan negara, aset, rakyat, sumber, pentadbiran, pendidikan, ekonomi, pertahanan dan kemasyarakatan. Menurutnya lagi, tamadun ini adalah merupakan kayu ukur bagi menentukan tahap pencapaian dan kemajuan sesuatu bangsa. Ciri-ciri tamadun inilah yang dapat membezakan sebuah masyarakat itu maju ataupun mundur.
Sekurang-kurangnya ada tujuh perkara yang mungkin dapat digunapakai untuk melaksanakan konsep Islam Hadhari ini.
Pertama : Setiap tugas dan usaha yang baik adalah Ibadah. Ini kerana semua tugas yang dibuat secara jujur, ikhlas dan amanah kerana Allah untuk kebaikan adalah satu ibadah.
Kedua : Sentiasa merancang untuk mencapai mutu kerja yang berkualiti pada setiap masa. Kualiti kerja dan perkhidmatan hendaklah bertaraf dunia dan berusaha mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Ketiga : Meningkatkan dan memupuk budaya berinovatif dan kreatif, dalam pengertian memberi pengiktirafan dan penghormatan kepada perekacipta di semua bidang terutama di bidang Sains dan Teknologi.
Keempat : Berusaha mengekalkan politik yang stabil. Sistem politik yang kemas teratur, kukuh dan adil akan menjamin keamanan dan keharmonian rakyat. Tamadun yang dibina akan hancur apabila berlaku perpecahan dan persengketaan.
Kelima : Ekonomi yang kukuh dan berkembang. Kekuatan ekonomi turut menjadi asas dan tunggak kekuatan tamadun. Ekonomi kukuh, rakyat mewah serta selesa dan berbagai sektor yang lain dapat berkembang pesat.
Keenam : Sistem pendidikan bertaraf dunia. Perkembangan dan kemajuan sistem pendidikan adalah satu jaminan ke arah penerusan ilmu yang menjadi asas kepada kebangkitan sains, teknologi, kebudayaan, komunikasi, teknologi maklumat dan pembinaan masyarakat bermaklumat, intelek serta ilmuan.
Ketujuh : Membentuk akhlak mulia yang terpuji. Keseimbangan antara kemajuan fizikal dan spiritual yang merujuk kepada soal akhlak dan kemanusiaan amat penting agar nilai tamaddun yang dibina akan berpaksi kepada asas dan peraturan yang benar.
Kerajaan melaksanakan dasar ini sebagai satu pendekatan membina tamadun sehingga menjadi agenda rasmi kerajaan kerana beberapa faktor.
Pertama: Menyediakan rakyat yang memiliki kematangan berfikir berdasarkan fakta ilmiah lengkap dengan data dan logik dalam mengemukakan hujah tanpa bertindak secara terburu-buru dan emosional. Umat Islam perlu memahami dengan mendalam sebab-sebab mundur dan segera mencari penyelesaian menurut anjuran Al-Quran dan As-Sunnah.
Kedua: Meningkatkan martabat, kemuliaan serta penghormatan rakyat Malaysia di mata dunia dengan cara memiliki segala kekuatan terutamanya kekuatan ekonomi, politik, ilmu, sains dan teknologi serta kekuatan akhlak dan disiplin.
Ketiga: Menjadikan rakyat Malaysia terkenal sebagai bangsa pencipta dengan nilai inovatif dan kreativiti yang tinggi lagi berkualiti dan sekali gus bukan sebagai bangsa yang hanya tahu menjadi masyarakat pengguna semata-mata.
Keempat: Menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara contoh terutama kepada negara Islam yang lain dengan ciri-ciri rakyat yang kuat bekerja, gigih, berfikir dan sentiasa berusaha menjadikan negara ini maju, berjaya, cemerlang, aman makmur serta diampuni Allah S.W.T.
Kelima : Memberi gambaran yang positif terhadap realiti umat Islam yang sebenar. Sebagai umat yang cintakan kedamaian, sederhana, dinamik, cinta ilmu, perpaduan dan kaya dengan amalan nilai-nilai murni. Masyarakat Islam Hadhari menolak konsep masyarakat Islam yang keras, tidak mengenal perbezaan pandangan, tidak mengakui kepelbagaian ijtihad, taksub dan tidak mahu mendengar pandangan dan aliran pemikiran lain.
Keenam: Memperjelaskan bahawa umat Islam di Malaysia bukan lagi terdiri dari golongan ‘Islam Ritual’ yang melihat Islam itu terlalu sempit hanya semata-mata hidup dalam masjid, sembahyang sunat, zikir, berjubah, berserban, berjanggut hingga tidak meletakkan hal kehidupan duniawi sebagai penting. Oleh itu, ia menyebabkan umat Islam jadi jumud dan pandangan orang lain pun kurang tertarik terhadap Islam.
Dalam mencapai merealisasikan pembinaan tamadun tersebut melalui pendekatan Islam Hadhari, umat Islam mesti mempunyai keinginan yang tinggi untuk berusaha mengembalikan semula kegemilangan tamadun Islam, membasmi perpecahan dan hendaklah saling mempercayai di antara pelbagai sektor umat meliputi ulamak, pemerintah dan rakyat dan membina jiwa serta fikiran yang mantap serta membendung apa sahaja yang menyebabkan kekeliruan jiwa dan fikiran umat Islam. Melalui aspek tersebut umat Islam dapat menebus maruah yang telah hilang daripada diri kita.
Reaksi Terhadap Keperluan Islam Hadhari
Malaysia memerlukan pendekatan Islam Hadhari kerana sejak kemerdekaan orang-orang Melayu telah memilih pembangunan Negara dengan konsep modeniti. Konsep modeniti ini bukanlah pembaratan dan Malaysia sekarang mengalami proses pemodenan. Proses ini telah menjadikan Malaysia sesuatu yang unik.
Namun, ia juga mempunyai kelemahan akibat penglibatan yang lemah daripada umat Islam terhadap dasar-dasar kerajaan dalam membentuk 'acuan sendiri' iaitu keserasian antara modeniti dan Islam. Nakhaei juga berhujahkan bahawa Islam hendaklah difahami sebagai tamadun yang memberi sumbangan besar kepada kemanusiaan. Sumbangan besarnya yang terbukti sebagaimana di zaman kegemilangan Islam. Namun matlamat suci ini sentiasa dilihat dari perspektif fundamental Islam dengan pengetahuan, semangat dan kesedaran kontemporari. Inilah yang dimaksudkan dengan istilah Islam Hadhari.
Dunia Islam sekarang memerlukan urus tadbir (governance) yang lebih baik dalam semua segi.Inspirasi dan panduannya adalah dari ajaran Islam dan Nabi Muhammad sendiri.
Penggunaan Istilah yang dikatakan mengelirukan
Dari segi penggunaan bahasa Arab istilah ini juga digunakan dalam bahasa Arab sama ada secara positif atau negatif. Ia disebut sebagai al-Islam al-Hadhari. Ini menolak dakwaan sesetengah pihak yang menyebutkannya ia adalah bersalahan dari segi nahu Arab. Antara yang menggunakan perkataan tersebut adalah Said Ramadhan al-Bouti, Khaled Abdullah al-Qasim, Abdul Muem Abu Futuh, seorang aktivis Ikhwan Muslimun, Fahmi Jada'an dan Ahmad al-Masalamani.
Dari segi nahunya istilah ini bergabung nama dan sifat, tidak ada cacat celanya dari sudut nahu dan ia membawa pengertian Islam yang bersifat maju secara pengertian harfinya. Secara jelasnya apabila ia sudah menjadi satu istilah dan didefinisikan, maka ia diterima. Islam Hadhari adalah memahami Islam dari perspektif ketamadunan dan ia berbeza dengan ungkapan Hadarah al-Islamiah atau tamadun Islam. Adalah menjadi kemestian kepada umat Islam untuk kembali kepada asas Islam yang melihat Islam dari perspektif yang luas, perspektif ketamadunan.
Islam Hadhari memberi penekanan kepada aspek pembangunan yang menjurus kepada pembinaan peradaban iaitu peradaban yang dicanai dengan pegangan Islam dan memberi fokus kepada usaha mempertingkatkan mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu, pembangunan insan, pembangunan kesihatan serta pembangunan fizikal.
Ia merupakan satu pendekatan dan strategi bagaimana dalam situasi baru, lanskap politik baru dan orientasi beragama yang berbeza, umat Islam mampu membangunkan suatu pendekatan ketamadunan yang lebih komprehensif, integratif, maju dan sederhana sifatnya.
Islam Hadhari ditakrifkan sebagai suatu pendekatan manusia, masyarakat dan negara Malaysia yang bersifat menyeluruh, berdasarkan kepada ruang lingkup tamadun Islam, bagi melahirkan individu dan masyarakat Islam yang mempunyai kekuatan spiritual, akhlak, intelektual dan material mampu berdikari, berdaya saing melihat ke hadapan, inovatif serta cekap menangani cabaran-cabaran semasa secara bijaksana, rasional, objektif dan praktikal. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjelaskan Islam Hadhari adalah merupakan satu pendekatan dan agenda pemabangunan Islam di Negara ini yang berasaskan tamadun dan ilmu. Matlamatnya ialah untuk mencipta sebauh masyarakat Islam yang maju dan bertamadun, iaitu masyarakat dan umat Islam yang hadhari.
Dunia Islam sekarang memerlukan urus tadbir yang lebih baik dalam semua segi.Inspirasi dan panduannya adalah dari ajaran Islam dan Nabi Muhamad sendiri. Islam Hadhari meletakkan 10 prinsip utama iaitu :
• Keimanan dan ketakwaan kepada Ilahi
• Kerajaan adil dan beramanah
• Rakyat berjiwa merdeka
• Pengusaan ilmu pengetahuan
• Pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif
• Kehidupan berkualiti
• Pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita
• Keutuhan budaya dan moral
• Pemeliharaan alam semula jadi
• Kekuatan pertahanan.
Di samping itu, Islam Hadhari menjelaskan penggunaan Maqasid al-Syariah yang berkaitan dengan lima perkara seperti berikut :
1. Menjaga agama
2. Menjaga akal
3. Menjaga nyawa
4. Menjaga harta
5. Menjaga keturunan.
Penekanan aspek Ilmu Maqasid al-Syariah dalam pembangunan umat Islam sekarang seperti yang dinyatakan oleh al-Ghazali dan al-Syatibi. Ilmu Maqasid al-Syariah membolehkan umat Islam memberikan tumpuan terhadap konsep agama yang lebih asas, sekaligus membebaskan kita daripada penafsiran yang terlalu harfiah dan kepatuhan terlalu ketat kepada soal hukum. Dengan ilmu ini juga, umat Islam boleh menemui jawapan terhadap masalah-masalah semasa dan sebagai asas ijtihad.
Visi Islam hadhari ialah untuk memastikan pembangunan negara ini akan menjurus ke arah tercapainya status Negara maju mengikut acuan sendiri. Yang dimaksudkan dengan acuan sendiri ialah kemajuan yang mempunyai jati diri dan tidak merupakan hanya salinan karbon kemajuan Barat. Misi utama Islam hadhari ialah berusaha memberi makna kepada pembangunan negara supaya kemajuan yang dicapai dalam proses pembangunan yang berterusan itu berkembang dalam kerangka pembangunan tamadun beracuan Islam.
Pandangan Sarjana Mengenai Pembinaan Tamadun
Said Hawwa mengkategorikan tamadun kepada dua iaitu tamadun Islam dan tamadun jahiliah. Tamadun Islam ialah segala aspek kemajuan yang tegak di atas kebudayaan Islam. Tamadun jahiliah pula ialah segala kemajuan yang dijelmakan dalam bentuk kebendaan dengan tidak mengambil kira aspek kerohanian dan moral.
Menurutnya, tamadun jahiliah adalah gambaran masyarakat yang mengingkari Tuhan, menafsirkan sejarah mengikut perspektif kebendaan dan mengamalkan sistem kapitalis. Termasuk dalam kategori ini adalah golongan yang tidak melaksanakan syariat dalam sistem kehidupan mereka.
Ali Abd Halim Mahmud pula melihat kemunduran umat Islam disebabkan faktor-faktor berikut :
i. Penyelewengan umat Islam dari kefahaman Islam yang sebenar terutama dalam bidang akidah.
ii. Buruk sangka terhadap pemerintahan dan khalifah yang tidak berfungsi dan tidak berkemampuan mentadbir negara.
iii. Tidak mengikuti sistem syariat Islam dalam kehidupan.
iv. Perpecahan umat Islam v. Ketiadaan semangat jihad dan kelemahan persiapan serta peralatan.
vi. Berfoya-foya secara keterlaluan dengan dunia dan melupakan akhirat. vii. Berleluasanya bid'ah dan khurafat.
viii. Kurangnya pendidikan dalam rumahtangga Muslim terhadap anak-anak. ix. Tidak peduli tentang kemajuan ilmu dan sains.
Akibat daripada kemunduran ini umat Islam telah berpecah belah dan kedudukan politik yang lemah serta musuh dapat menguasai mereka dengan mudah. Beliau juga membahagikan asas tamadun kepada dua aspek iaitu aspek yang merupakan ketetapan yang mutlak dan asasi manakala aspek kedua adalah mengikut keadaan masa dan tempat.
Aspek pertama terdiri daripada aspek keimanan serta amalan kerja yang diterasi dengan nilai adil, bermuafakat, menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran, keperibadian yang tinggi dan semangat jihad yang berkobar.
Aspek kedua pula berkaitan dengan persoalan kehidupan kebendaan dengan segala kecanggihan mengikut ketinggian teknologi pada masa itu seperti tempat tinggal, media massa dan pakaian. Siddiq Fadhil melihat bahawa perubahan dalam bangsa Melayu-Islam memerlukan kehadiran pemimpin yang berwibawa dalam ertikata mempunyai kekuatan intelektual, ketajaman analisis,menyedari perubahan-perubahan sekitar dan berwawasan.
Pemimpin sedemikian mampu untuk melakukan perubahan sekaligus dapat memajukan bangsanya. Ini kerana pemimpin yang berkesan mendapat komitmen dan dukungan dengan penampilan diri sebagai contoh kecemerlangan menerusi sikap yang beretika, terbuka, memberi kekuatan kepada para pengikut serta mampu menjadi inspirasi kepada orang ramai.
Oleh itu, tamadun yang berjaya adalah tamadun yang bersumberkan kepada nilai-nilai agama sebagai pendorong kepada kemajuan sesuatu bangsa. Hakikat kecemerlangan terletak kepada kualiti dan hakikat kemanusiaan yang ada pada diri masing-masing yang berupaya untuk membangunkan bangsa dan Negara serta masyarakat yang dirahmati Allah.
Oleh itu, Akbar S. Ahmad menyebutkan bahawa dalam membina tamadun ia mesti berteraskan kepada konsep ideal Muslim. Konsep ini membawa maksud bahawa perilaku dan tindak-tanduk masyarakat Islam perlu mencontohi amalan nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat baginda, jika ingin mengembalikan peradaban mereka.
Menurutnya, kemuncak amalan kehidupan masyarakat Islam berada di kemuncak era nabi Muhammad , kemudian para sahabat dan selepas itu kurun-kurun berikutnya. Tahap peradaban semakin merosot jika konsep ideal Muslim diabaikan.
Al-Nadwi pula berpendapat bahawa tugas utama umat Islam dalam membina tamadun mesti berteraskan kepada dakwah. Umat Islam diutuskan untuk membawa suatu visi yang agung, yang lebih tinggi dan lebih mulia daripada apa yang sedang ditumpukan oleh orang-orang bukan Islam iaitu melaksanakan kewajipan dakwah. Beliau melihat keperluan revolusi pemikiran iaitu kembali berfikir bahawa iman, ketaatan dan dakwah merupakan faktor kemampuan walaupun menghadapi penguasa yang amat zalim. Umat Islam perlu kembali kepada hakikat Islam, inti dan falsafah perjuangannya kerana memang di situlah letaknya kekuatan dan kehebatan umat Islam.
Mereka tidak tenggelam dalam kemewahan hidup dan kenikmatan kebendaan. Sebagai contohnya, kerajaan-kerajaan yang telah didirikan oleh para khulafa’ al-Rasyidin dan para sahabat Nabi s.a.w. Asas pemerintahan pada zaman pertama umat Islam adalah hidayah, dakwah ke jalan Allah dan berjuang menegakkan nilai-nilai kemanusiaan.
Mereka yakin dengan cara beginilah umat Islam akan mencapai kemuliaan. Al-Nadwi juga menerangkan mengenai dua bentuk yang sentiasa bersaing mencari pengaruh masing-masing iaitu dakyah kepada perhambaan kepada hawa nafsu dan dakwah kepada Allah.
Ali Shariati menyebutkan dua perkara penting dalam pembinaan tamadun iaitu;
Pertama ialah fenomena Migrasi atau hijrah sebagai faktor utama yang membawa kepada tumbuh dan berkembangnya tamadun manusia.
Kedua ialah peranan manusia atau al-Nas dalam menempa kemajuan.Kedua-dua teori kemajuan dan pembinaan tamadun ini dihasilkan bersumberkan ilham yang diperoleh dari al-Quran dan sejarah Islam.
Bagi Ali Shariati, Hijrah bukan sahaja merujuk kepada perpindahan Nabi Muhammad s.a.w. dari Mekah ke Madinah untuk menyelamatkan diri daripada seksaan kaum Quraish tetapi mempunyai erti kata yang lebih luas dan mendalam.
Daripada kajian beliau terhadap 27 peradaban, Ali Shariati merumuskan bahawa peradaban lahir disebabkan penghijrahan manusia dari tempat asal ke tempat baru.Sebaliknya tidak terdapat sebarang peradaban yang lahir dan berkembang di kalangan masyarakat primitif yang tidak pernah berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain.
Faktor kedua ialah peranan manusia itu sendiri khususnya golongan intelektual yang bertanggungjawab menentukan nasib dan mengubah masa depan, kerana mereka diberi akal fikiran dan kudrat untuk berusaha.
Beliau mengaitkan faktor tersebut dengan ayat al-Quran yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum jika mereka tidak mahu mengubah nasibnya" (al-ra'd ayat 11) Golongan intelektual turut terlibat dalam membina peradaban.
Istilah yang digunakan oleh beliau ialah rausyanfikr.Golongan ini bukan sekadar ilmuan tetapi golongan yang merasa bertanggungjawab untuk memperbaiki masyarakatnya bagi menunaikan cita-cita mereka dan merumuskannya ke dalam bahasa yang dapat difahami setiap orang, menawarkan strategi dan alternatif penyelesaian masalah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment