Wednesday, April 1, 2009

AHMAD ZAHID JANJI SELESAI ISU BERKAITAN ISLAM

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan berusaha menyelesaikan semua isu berkaitan agama Islam dalam negara yang dibangkitkan oleh perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno 2008. Beliau yang baru dilantik ke jawatan Naib Presiden Umno berkata, selagi diberi kepercayaan oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak untuk menerajui portfolio agama, beliau akan berusaha menunaikan tangungjawab menangani isu itu dengan hati rela. Dalam ucapannya semasa menggulung perbahasan di sini hari ini, beliau turut mengingatkan semua pihak supaya jangan mencabar umat Islam sehingga menimbulkan kemarahan mereka.

Antara isu agama yang dibangkitkan sepanjang perhimpunan agung Umno 2008 yang berakhir hari ini ialah berhubung penggunaan kalimah Allah, isu akidah, isu industri halal, isu perundangan Islam, isu institusi kekeluargaan dan isu pendidikan agama Islam. Sebagai Naib Presiden baru, Ahmad Zahid juga berikrar memberi sokongan padu kepada Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menerajui parti dan negara. Beliau seterusnya mengingatkan perwakilan pada perhimpunan itu yang begitu gembira kerana memperolehi presiden dan timbalan presiden baru, agar tidak melupakan bekas presiden parti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.


"Dalam bersorak kegembiraan kerana ada presiden dan timbalan presiden baru yang menjadi imam besar dan timbalan imam besar, jangan kita lupa imam besar lama kita, Pak Lah (Abdullah), kita terhutang budi kepada Pak Lah," katanya. Beliau seterusnya meminta para perwakilan untuk sama-sama berdiri memberi perhormatan kepada Abdullah, Najib, Muhyiddin serta semua barisan kepimpinan baru Umno. Ahmad Zahid turut mengajak semua perwakilan sama-sama berdiri memberi penghormatan kepada Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang dianggapnya cukup tabah dan cekal menghadapi tindakan Lembaga Disiplin yang melarangnya daripada bertanding ke jawatan Timbalan Presiden Umno. - Bernama

No comments: