Friday, March 27, 2009

MAJLIS PEGUAM USAH CABAR ISLAM

Tinjauan pendapat kalimah Allah dalam laman web timbul kemarahan: Zahid

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam Malaysia semalam, diberi amaran terakhir supaya tidak terus mencabar kesabaran umat Islam apabila mengadakan tinjauan pendapat berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dalam laman webnya. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata majlis itu sepatutnya menghormati perkara itu kerana kes itu masih dalam semakan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Kabinet juga mengarahkan semua pihak menghentikan membincangkan isu itu.

Katanya, beliau juga sudah menyatakan di Parlimen isu itu tidak boleh dijadikan bahan perbincangan dan tindakan Majlis Peguam mendapatkan maklum balas mengenai perkara itu menerusi laman webnya disifatkan tidak bijak. "Saya nak beri amaran terakhir kepada Majlis Peguam Malaysia dan harap mereka sebagai peguam profesional dan peguam sivil, menghormatinya. Kalimah Allah bukan sesuatu yang boleh dibuat tinjauan (pendapat) dan ia seolah-olah mencabar (perasaan dan kesabaran) orang Islam. "Jangan bermain api dengan orang Islam dan saya harap sikap kita (umat Islam) menghormati agama lain harus juga diterjemah oleh mereka untuk menghormati agama Islam.


"Jadi, saya harap selepas ini tidak ada lagi individu atau organisasi mempersoalkan isu ini dan menghormati keputusan Majlis Raja-Raja Melayu mengenai larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dan kerajaan negeri yang juga sudah lama mewartakan perkara itu, dihormati sepenuhnya." katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah pembinaan Sekolah Menengah Imtiaz Majlis Agama Wilayah Persekutuan di Setiawangsa di sini. Ditanya adakah Majlis Peguam akan dipanggil untuk memberi penjelasan, Ahmad Zahid berkata, kerajaan tidak perlu memanggil badan itu. "Hal ehwal Islam adalah di bawah bidang kuasa Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan kalau mereka mempertikaikan ertinya secara tidak langsung mempertikaikan kuasa Raja-Raja Melayu. "Mereka jangan marah kalau menerima kebangkitan perasaan marah orang Islam," katanya.


Beliau juga menyokong langkah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Majlis Peguam berhubung perkara itu. Diminta mengulas larangan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, supaya masjid dalam pengurusan Jakim tidak digunakan untuk bersumpah mubahalah bagi menyelesaikan pertelingkahan berkaitan politik dan parti, beliau berkata, institusi itu seharusnya bebas daripada kekangan pengaruh politik dan kepartian. Katanya, masjid tempat penyatuan umat dan mengukuhkan martabat Islam selain tempat umat Islam menzahirkan keimanan kepada Allah. "Cari masjid lainlah... bukan Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan atau Masjid Putra (untuk bersumpah mubahalah)," katanya.

No comments: