Thursday, March 5, 2009

PUSAT PENYELIDIKAN HADIS DITUBUHKAN

Kerajaan lulus geran RM1 juta: Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menubuhkan Pusat Penyelidikan Hadis atau Darul Hadis sebagai pusat pengumpulan setempat sumber hadis dari seluruh pelosok dunia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Serentak itu, kerajaan meluluskan geran awal RM1 juta daripada Yayasan Dakwah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi tujuan itu dan meminta institusi pengajian tinggi awam (IPTA) membantu rancangan penubuhan Darul Hadis itu.


"Darul Hadis boleh dijadikan pusat pengumpulan setempat semua sumber hadis dari seluruh pelosok dunia dan melaksanakan aktiviti penterjemahan kitab terulung itu ke bahasa Melayu "Pengurusan pengumpulan hadis yang cekap akan disediakan dan semua hadis dikumpul akan didokumentasi secara sistematik.

Darul Hadis akan berfungsi sebagai pusat membekalkan ilmu hadis daripada pelbagai lapangan untuk keperluan awam," katanya pada majlis perasmian Seminar Takhrij Hadis Peringkat Kebangsaan 2009 dan Pelancaran Permuafakatan Alumni Timur Tengah dan Alumni Pengajian Islam Malaysia di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, semalam. Ahmad Zahid berkata, Darul Hadis juga akan menjadi tempat menghimpunkan semua pakar hadis dari seluruh Malaysia dan berbincang dengan ahli hadis serta fuqaha seluruh dunia.

Beliau juga mengingatkan perbezaan pendapat berkaitan agama tidak wajar dibahaskan secara terbuka, termasuk menerusi media dan semua pihak, termasuk bukan Islam perlu memahami kedudukan Islam dalam Perlembagaan sebagai agama rasmi Persekutuan, tetapi hak agama lain dihormati. Katanya, isu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang dikatakan mahu menubuhkan Majlis Perundingan Silaturahim Antara Agama perlu diberi perhatian kerana boleh menimbulkan ketegangan rakyat.

No comments: