Tuesday, March 10, 2009

GUNA NAMA 'ALLAH' UNTUK BUKAN ISLAM CETUS KELIRU

Penjelasan Ahli Parlimen Baling sama dengan pegangan Jakim

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Baling daripada Pas, Taib Azamudden Md Taib mempunyai pandangan berbeza dengan Mursyidul Am parti itu, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat berhubung penggunaan perkataan 'Allah' oleh penganut agama bukan Islam. Beliau yang memberi penjelasan panjang lebar mengenai isu itu pada sidang Dewan Rakyat semalam, berkata penggunaan perkataan itu oleh agama lain di negara ini boleh menimbulkan kekeliruan.
Namun, bekas Imam Besar Masjid Negara itu berkata pendiriannya bukan mewakili parti, sebaliknya berlandaskan kesucian Islam.


Beliau memberi penjelasan itu selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberinya peluang menyatakan pendiriannya. Ahmad Zahid berbuat demikian ketika menggulung perbahasan titah diraja bagi Jabatan Perdana Menteri selepas dua Ahli Parlimen daripada Pas berhujah perkataan Allah patut dibenarkan diguna agama lain. "Dalam konteks Malaysia, ia akan menyebabkan kekeliruan kepada anak-anak dan keturunan kita akan datang, tidak sama seperti di Eropah atau tempat lain.


"Contohnya, (boleh berlaku) jika kita tanya penganut agama lain ke mana dia hendak pergi, mereka (boleh) kata nak sembah Allah... kita tanya Sri Gading (Ahli Parlimen Seri Gading, Datuk Seri Mohamad Aziz) juga kata nak sembah Allah," kata Taib Azamudden. Taib Azamudden juga menjelaskan mengenai Allah dalam Islam serta dalam agama lain seperti Yahudi dan Kristian yang menyifatkan Allah mempunyai anak, sedangkan konsep ketuhanan dalam Islam adalah tauhid.


Ahmad Zahid kemudian berkata, penjelasan Taib Azamudden itu adalah pegangan kerajaan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Fatwa Kebangsaan serta sebahagian besar rakyat Malaysia. Katanya, pada masa ini 10 negeri sudah mewartakan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung isu itu kecuali Pulau Pinang, Sabah, Wilayah Persekutuan dan Sarawak.

No comments: