Langkah permudah umat Islam beri derma KUALA LUMPUR: Pemodenan kutipan zakat dan derma tabung masjid sekitar ibu negara menerusi kios mesin pengeluaran wang automatik (ATM) khas akan diperluaskan ke seluruh negara bagi menjadikan masjid sebagai pusat kegiatan menjana ekonomi umat Islam. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata langkah itu selaras hasrat kerajaan mengimarahkan masjid dan menjadikan konsep berkenaan sebahagian cara hidup masyarakat Islam negara ini. "Pemodenan kutipan zakat dan derma tabung masjid perlu diperluaskan dan dicontohi negeri lain kerana ia bukan saja menerapkan kaedah kontemporari dalam kutipan zakat serta derma tabung masjid, malah memberi wajah baru kepada masjid seiring kemajuan dunia. "Ia juga memudahkan umat Islam memberi sumbangan atau derma tanpa perlu menggunakan cara konvensional melalui peti besi atau kotak kayu. Fungsi kios ini akan turut dipelbagaikan termasuk membolehkan masyarakat Islam membeli saham wakaf serta membuat deposit simpanan Akaun Tabung Haji tidak lama lagi. "Saya meminta badan korporat dan swasta melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat Islam dengan menaja dan mewakafkan mesin ATM kepada masjid untuk dijadikan kios bagi memantapkan ekonomi ummah," katanya pada pelancaran E Zakat/E Derma serta perasmian Kios Maju Masjid Kampung Baru, di sini semalam. Pelancaran kios berkenaan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, sebelum baginda dan anakandanya, Tengku Mohd Muaaz menunaikan solat Jumaat bersama rakyat. Ahmad Zahid berkata, usaha pemodenan kutipan zakat dan derma tabung masjid sekitar ibu kota menarik minat negara Asia Barat yang membuat liputan mengenainya tahun lalu. |
Monday, February 23, 2009
KIOS ZAKAT, TABUNG MASJID DIPERLUAS
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment