Wednesday, December 10, 2008

SEMUA JEMAAH DIPASTIKAN BERADA DI ARAFAH

MAKKAH: Persiapan rapi diatur bagi memastikan lebih 26,000 jemaah haji Malaysia termasuk yang terlantar di pusat rawatan dan hospital, dapat melakukan Wukuf di Padang Arafah Ahad ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Ahmad Zahid berkata, beliau sudah meminta Tabung Haji memastikan setiap jemaah haji yang sakit, selagi mereka dalam keadaan sedar dan stabil, dibawa ke Arafah dengan lebih 20 ambulans Tabung Haji (TH) bagi membolehkan mereka berwukuf di sana walaupun hanya sebentar.



“Setiap jemaah haji kena hadir di Arafah pada waktu wukuf memadai untuk beberapa minit bagi melaksanakan rukun haji itu, kalau tidak, tidak dapat haji” katanya kepada wartawan Malaysia di sini, semalam.


“Oleh itu, keluarga jemaah haji di tanah air tidak perlu risau saudara mereka yang uzur tidak dapat berwukuf. Sebaliknya marilah kita sama-sama berdoa mereka cepat sembuh dan mendapat haji mabrur,” katanya. Beliau berkata, semua lebih 26,000 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Kota Suci ini untuk berwukuf di Arafah yang tinggal tiga hari saja lagi. Ahmad Zahid menasihatkan semua jemaah haji negara bersedia untuk wukuf dengan memastikan mereka mengambil rehat mencukupi, jaga makan dan minum dan tidak terlalu ghairah melakukan ibadat sunat sehingga kesihatan terjejas.


Beliau turut merakamkan takziah kepada keluarga 21 jemaah haji Malaysia yang kembali ke Rahmatullah, iaitu enam ketika berada di Madinah, seorang di Jeddah dan 14 lagi ketika berada di sini. Ahmad Zahid berkata, kebanyakannya sudah lanjut usia dan menghidap penyakit sebelum berangkat ke sini. Sementara itu, Pengerusi TH, Tan Sri Abi Musa Asha’ari Mohamed Nor, berkata berdasarkan taklimat Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Salleh Abdul Mubin, malam kelmarin, beliau yakin urusan haji jemaah negara berjalan lancar tahun ini. “Rancangan kontingensi juga disusun rapi. Tetapi saya tidak menjangka sebarang masalah besar akan timbul, Insya-Allah semua jemaah kita dapat melakukan wukuf dan melontar di jamrah,” katanya. - Bernama

No comments: