Monday, March 23, 2009

TATAETIKA AHLI UMNO DIKAJI SEMULA

KUALA LUMPUR: Pemantauan terhadap tataetika ahli Umno oleh Lembaga Disiplin perlu dikaji semula dengan peraturan yang lebih telus diperkenalkan supaya tidak dilihat menganiaya seseorang atau calon tertentu. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata peraturan lebih telus akan dihormati semua pihak termasuk calon bertanding. "Kita menghormati organisasi di dalam dan luar Umno yang memantau hal ehwal etika pemilihan parti.

"Dengan rasa hormat, saya berasa ramai memandu terlalu laju di lebuh raya, tetapi ramai yang tidak memakai tali pinggang dan melebihi had laju selalu terlepas. "Tetapi bila ada perangkap had laju, ada kena," katanya selepas merasmikan majlis serah tugas pengurusan Islam Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), di sini, semalam. Bagaimanapun, Ahmad Zahid tidak memperjelaskan maksud kata-katanya itu.


Beliau mengulas tindakan Lembaga Disiplin yang melarang calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, daripada bertanding kerana mendapati terbabit dengan politik wang. Lembaga Disiplin juga mendapati calon Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, bersalah atas kesalahan yang sama, tetapi hanya diberi amaran sekali gus masih boleh bertanding. Seorang lagi calon Ketua Pemuda, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang turut disiasat atas tuduhan sama, didapati tidak bersalah. Ahmad Zahid berkata, beliau berpendapat tidak akan berlaku perpecahan dalam Umno berikutan tindakan terhadap Mohd Ali itu.


"Kita harus nilai sesuatu hukuman itu daripada sudut positif dan saya lebih menjuruskan kepada perkara itu ada hikmahnya yang kita tidak tahu sekarang, tetapi kita akan mengetahui kemudian," katanya.

No comments: