Tuesday, January 6, 2009

SEKRETARIAT KHAS DIALOG ULAMA, UMARA - NAJIB

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Sebuah sekretariat khas akan ditubuhkan untuk mengendalikan dialog antara ulama dan umara bagi memastikan perbincangan di antara kedua-duanya berlaku secara lebih mapan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.


Timbalan Perdana Menteri berkata, dialog yang akan dilakukan secara berkala itu penting untuk membolehkan pandangan kedua-dua pihak terhadap sesuatu perkara dapat dibincangkan mengikut keperluan semasa.


''Untuk itu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan penubuhan sekretariat ini yang boleh menguruskan segala perkara yang berkaitan dengan dialog antara ulama dan umara.


''Kita nak hubungan antara ulama dan pemimpin itu kukuh dan berada di atas landasan yang baik dan mesra supaya kerjasama itu boleh menunjangi perubahan yang lebih besar kepada umat Islam dan negara,'' katanya.


Najib berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan dan Dialog Bersama Ulama dan Umara di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.Turut hadir pada majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 tetamu termasuk mufti dan tokoh agama itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Penasihat Agama Kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman.Terdahulu dalam ucapannya, Timbalan Perdana Menteri berkata, asas kepada perbincangan antara ulama dan umara harus bermula dari perasaan saling hormat menghormati terhadap peranan masing-masing.


Katanya, sementara sebarang ketetapan atau keputusan hasil daripada dialog berkenaan harus mampu dibawa ke tengah dan menjadi pedoman serta rujukan dalam menyelesaikan masalah semasa.''Ulama dan umara perlu sentiasa bekerjasama demi kepentingan umat, sebab itu kita cadangkan agar diwujudkan sekretariat khas ini untuk mendekatkan kedua-dua golongan ini,'' jelasnya.


Dalam ucapannya itu juga, Najib menyeru para ulama dan umara untuk bersama-sama berfikir mencari penyelesaian terhadap masalah umat dengan cara yang realistik, praktikal dan penuh hikmah.Najib berkata, antara perkara itu ialah menambah baik produk-produk kewangan Islam, usaha memperkasakan Malaysia sebagai hab halal selain mencari jalan penyelesaian isu dualisme dalam pendidikan umat Islam yang telah menyebabkan pembaziran anak-anak pintar kerana dari aliran sekolah yang berbeza.


''Penyelesaian yang diharapkan nanti, insya-Allah, mampu membentuk golongan ulama seperti mana zaman keagungan Islam dahulu,'' katanya.
Najib turut menyarankan supaya prinsip ajaran Islam turut diperjelaskan kepada rakyat negara ini dengan cara yang paling berhikmah dan berkesan tanpa hanya terhad kepada umat Islam sahaja.


Selain itu, Timbalan Perdana Menteri turut mahukan semua pihak meletakkan keutamaan untuk menghentikan trend memainkan isu perkauman yang secara tiba-tiba menjadi begitu penting pada masa ini.


''Marilah sama-sama kita berfikir dan bertindak bagi mengembalikan keharmonian negara dengan cara yang bijaksana menggunakan formula yang ditunjukkan Rasulullah.
''Rasulullah mengamalkan konsep 'zimmi' kepada orang bukan Islam yang tidak memusuhi baginda, mengapa tidak kita kaji dan jadikan konsep ini sebagai asas toleransi agar orang lain memahami Islam sebagai agama yang harmoni.


''Dalam masa sama, Rasulullah juga bertegas terhadap elemen yang cuba menodai akidah keharmonian dan keamanan negara. Sikap baginda terhadap golongan 'harbi' dan munafik cukup tegas dan jelas,'' katanya.

No comments: