Monday, January 12, 2009

KUTIPAN DERMA SEMBAHYANG JUMAAT DISERAH KEPADA PALESTIN

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Bermula esok, semua kutipan derma sembahyang Jumaat selama tiga minggu berturut-turut di seluruh negara perlu diserahkan kepada Jabatan Agama Islam negeri masing-masing untuk disumbangkan kepada rakyat Palestin.Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata wang itu akan dikumpul di Kuala Lumpur sebelum diserahkan kepada Kementerian Luar.


"Saya memohon semua umat Islam agar menderma lebih sedikit daripada hari biasa untuk membuktikan keprihatinan sebagai orang Islam terhadap rakan seagama yang menjadi mangsa kekejaman Yahudi di Gaza."Bagi kutipan yang digunakan untuk membayar bil elektrik, air, elaun imam serta penceramah, saya minta lupakan sekejap perkara tersebut dan gunalah peruntukan lain untuk menjelaskannya... hanya untuk tiga minggu ini sahaja," katanya semasa sidang akhbar mengumumkan prestasi kutipan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ MAIWP) di sini, Khamis.


Kutipan derma itu merupakan inisiatif terbaru kerajaan bagi membantu penduduk Palestin selepas mengumumkan semalam akan mengadakan sembahyang hajat dan membuat Qunut Nazilah selama tiga minggu berturut-turut serta meminta semua masjid di seluruh negara membaca khutbah yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi menyedarkan umat Islam mengenai ancaman Israel di Palestin.Zahid turut memaklumkan bahawa Kabinet telah bersetuju dengan cadangannya agar Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) menubuhkan Tentera Pengaman Khas OIC yang akan disertai oleh negara anggota pertubuhan itu.Katanya Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim akan membawa cadangan Malaysia itu ke persidangan OIC nanti.


Sebelum itu, Zahid yang juga Pengerusi MAIWP, mengumumkan kutipan zakat harta PPZ MAIWP bagi tahun 2008 adalah sebanyak RM206,261,147.28, meningkat 22 peratus berbanding RM169,217,233.65 pada tahun sebelumnya.Pada majlis itu, MAIWP turut menyampaikan sumbangan zakat berjumlah RM590,188 kepada 14 penerima yang terdiri daripada individu dan agensi.-- BERNAMA

No comments: