Thursday, January 29, 2009

'JANGAN CUBA CETUSKAN KEMARAHAN UMAT ISLAM'

KUALA LUMPUR: Akhbar The Herald - The Catholic Weekly digesa menghormati Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan untuk tidak menggunakan perkataan Allah dalam edisi bahasa Malaysia terbitannya. Sambil mengingatkan semua pihak jangan cuba mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata sebelum ini sudah wujud persefahaman supaya perkataan digunakan agama Islam tidak digunakan pihak lain. "Perlembagaan itu jelas menyatakan agama lain tidak boleh disebarkan di kalangan Islam. Kita cukup menghormati agama yang dianuti kaum lain dan mereka juga harus menghormati agama Islam.

"Kita tertakluk kepada undang-undang dan khuatir ada tujuan tersirat di sebalik tujuan akhbar Katolik itu. "Kita juga khuatir penyebaran dakyah Kristian di kalangan orang Islam di negara ini," katanya selepas menghadiri majlis sambutan Maal Hijrah 1430 peringkat Wilayah Persekutuan di sini, semalam. Pada majlis itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Tan Sri Abdul Kader Talip dan pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah 1430.

Masing-masing menerima hadiah wang tunai RM25,000, pingat dan sijil. Ahmad Zahid berkata demikian mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok kelmarin yang merayu Kementerian Dalam Negeri (KDN) membenarkan akhbar The Herald menggunakan tulisan Allah dalam edisi terbitan bahasa Malaysia sehingga mahkamah membuat keputusan. Awal bulan ini, KDN menyambung permit The Herald setahun berkuat kuasa 1 Januari lalu. Surat kelulusan ditandatangani Syed Hamid menetapkan tiga syarat perlu dipenuhi atau permit ditarik balik. Bagaimanapun, akhbar itu mencetuskan kontroversi apabila berdegil menggunakan perkataan Allah dalam edisi minggu lalu.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, elaun guru Kelas Fardu Ain (Kafa) di Wilayah Persekutuan dinaikkan daripada RM500 kepada RM1,000 sebulan mulai 1 Januari ini. Tiga syarat itu ialah larangan menerbitkan edisi bahasa Melayu sehingga mahkamah membuat keputusan berhubung tuntutannya bagi mendapatkan deklarasi sesuai untuk penggunaan kalimah Allah. Surat kelulusan itu turut menyatakan penjualan terhad dalam gereja dan mereka diwajibkan mencetak perkataan `terhad untuk penganut Kristian' pada muka depan akhbar berkenaan. Beliau yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berkata, oleh kerana kutipan zakat MAIWP mencecah RM200 juta pada tahun ini, adalah wajar guru berkenaan mendapat kenaikan elaun.

No comments: