Wednesday, December 24, 2008

KOD ETIKA BUKAN AMBIL ALIH PENTADBIRAN NEGERI

Seragamkan peraturan penguat kuasa agama seluruh negaraSHAH ALAM: Kod Etika Pegawai Penguat Kuasa Agama yang dilancarkan semalam untuk diguna pakai Majlis Agama Islam Negeri bukan bertujuan mengambil alih pentadbiran hal-ehwal Islam daripada kerajaan negeri. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mohd Zahid Hamidi, berkata kod etika yang diperkenalkan Jakim itu juga bukan bermaksud agensi itu mahu mengambil alih kuasa pentadbiran daripada Sultan dan Raja-raja Melayu.

Beliau berkata, kod etika yang mengandungi tiga elemen penting itu bertujuan menyeragamkan perundangan dan peraturan penguat kuasa seluruh negara, kenaikan pangkat yang sesuai dengan kelayakan dan persamaan identiti melalui penyeragaman uniform. “Kita mahu menggunakan kod etika bagi meningkatkan imej pegawai penguat kuasa supaya mereka lebih dihormati dan ‘ditakuti’ oleh orang Islam yang bersalah," katanya selepas melancarkan Kod Etika Pegawai Penguat Kuasa Agama, di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Kod Etika Pegawai Penguat Kuasa Agama Jabatan Agama Islam Negeri itu diluluskan pada Persidangan Ketua Jabatan Majlis Agama Islam Negeri seluruh Malaysia ke-77, Julai lalu untuk diterima pakai secara seragam di seluruh negara. Mohd Zahid berkata, kod etika itu perlu dijadikan panduan kepada pegawai penguat kuasa agama ketika menjalankan tugas supaya imej negeri terpelihara dan undang-undang Islam dapat ditegakkan. Beliau berkata, keberkesanan tugas pegawai penguat kuasa agama juga bergantung kepada ilmu pengetahuan yang dimiliki kakitangan terbabit terutama mengenali orang penting atau pegawai atasan. Beliau berkata, pegawai penguat kuasa tidak akan takut bertindak dan mengambil tindakan jika kenal individu yang disyaki melakukan kesalahan itu adalah orang penting atau pegawai tinggi kerajaan.

Sementara itu, beliau berkata, rundingan dan dialog membabitkan pelbagai agama di Malaysia patut diadakan secara tertutup atau dikurangkan untuk mengelak timbul lebih banyak salah faham antara agama selain mengelakkan jurang perbezaan yang lebih ketara. Mohd Zahid berkata, perbincangan pegawai kanan kementeriannya dari Jakim, Institut Kemajuan Islam Malaysia (Ikim) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dengan pegawai kanan kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan juga mencadangkan pemimpin politik tidak terbabit dalam rundingan dan dialog itu bagi mengelak isu agama digunakan untuk kepentingan politik.

No comments: