KOTA KINABALU 21 Nov. - Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) menyambut baik keputusan kerajaan mempertimbangkan dana khas bagi menggerakkan aktiviti dakwah dan penghayatan Islam di negeri ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Abdullah Hussin berkata, langkah proaktif itu mampu memperkasakan lagi gerakan dakwah oleh pertubuhan-pertubuhan Islam di negeri ini.
Katanya, dana tersebut juga dapat memberi sinar kepada saudara-saudara baru di negeri ini untuk mendapat bantuan sewajarnya bagi terus mendalami ajaran Islam.
"Kita mengalu-alukan keprihatinan kerajaan Pusat yang akan menyediakan dana bagi membantu kerajaan negeri melaksanakan program dakwah di Sabah. "Kita yakin usaha ini juga akan dapat memberikan kefahaman yang lebih jelas mengenai ajaran Islam kepada saudara baru," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerajaan akan mempertimbangkan untuk memberi satu dana khas bagi membantu saudara-saudara baru serta menggerakkan aktiviti dakwah Islam di negeri ini.
Zahid berkata, pihaknya menyedari keperluan peruntukan yang diperlukan negeri ini untuk melaksanakan aktiviti dakwahnya.
Justeru itu Abdullah berharap, dana tersebut dapat disalurkan kepada badan dakwah yang berdaftar bagi memastikan program dakwah dapat digerakkan secara berterusan.
Pada masa ini katanya, kerajaan negeri telah menyediakan bantuan khas kepada USIA dan beberapa pertubuhan Islam lain untuk melaksanakan gerakan dakwah.
Bagaimanapun katanya, berikutan peruntukan yang agak terhad, program dakwah tidak dapat dijalankan secara menyeluruh.
"Kita (USIA) telah memperkenalkan program Baitul-Nur iaitu program bimbingan untuk saudara baru di beberapa daerah seperti Papar, Nabawan dan Tongod.
"Namun program ini dibuat secara berperingkat-peringkat kerana kita mempunyai peruntukan yang terhad," ujarnya.
No comments:
Post a Comment