Tuesday, October 21, 2008

SEMANGAT SETIAKAWAN MEMBANTU

PUTRAJAYA 20 Okt. - Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kejayaannya melepasi kuota kelayakan bertanding jawatan Naib Presiden hasil semangat setiakawan yang ditonjolkan oleh rakan- rakannya.
Beliau yang berasa amat sedih pada peringkat awal kerana meraih pencalonan yang amat sedikit akhirnya berjaya melayakkan diri hasil pertolongan rakan-rakan.
''Konsep saya dalam politik, yang saya tanam bukan budi tapi kesetiakawanan, mungkin atas dasar itulah yang saya diberikan kepercayaan.
''Dan Insya-Allah, tempoh untuk persidangan Perhimpunan Agung UMNO lama lagi, walaupun kita jangkakan macam-macam perkara akan berlaku antara sekarang sehingga tarikh itu namun jika kita beristiqamah dalam perjuangan, rakan-rakan pun akan turut beristiqamah dengan kita," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menteri di Jabatan di Perdana Menteri itu berkata, disebabkan calon bertanding tidak boleh berkempen, maka beliau terpaksa menyerahkan nasibnya kepada Allah S.W.T.
''Kita minta kawan-kawan akar umbi berkait dahan, jika pokok makin tinggi, tak mustahil pucuknya itulah yang kena angin dulu dan goyangnya kuat atau kalau ada petir, pokok itu dipanah petir dulu.
''Dalam politik macam itulah, saya harap tak ada petir dan tidak ada ribut taufan yang melanda pokok yang tinggi-tinggi dan pokok tinggi kena ada akar kuat yang dibajai supaya tidak akan tumbang dan patah dahan," katanya.
Ahmad Zahid berkata, beliau lebih senang mengambil pendekatan untuk tidak bercakap banyak demi menjaga hati banyak pihak.

No comments: