Saturday, August 23, 2008

ULAMA JANGAN MEMIHAK

KEPALA BATAS 23 Ogos - Ulama di negara ini diminta tidak bertelagah pendapat sesama sendiri dalam menegakkan hukum agama hanya kerana mahu memihak kepada perjuangan seseorang individu dalam politik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebarang penetapan hukum hendaklah berpaksikan nas al Quran dan hadis dan bukannya berdasarkan emosi.

“Jangan sesekali kita cenderung menetapkan hukum hanya kerana orang itu kawan atau musuh kita sehingga ia mencetuskan keraguan di kalangan orang ramai, ini sangat berbahaya.

“Apa yang penting kita perlu memihak kepada kebenaran. Biarlah sesuatu hukum itu ditetapkan berdasarkan nas-nas al Quran dan hadis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pentauliahan kepada lebih 1,000 pegawai masjid termasuk imam seluruh Pulau Pinang di Kompleks Budi Penyayang di sini hari ini. - Utusan

No comments: