KUALA KUBU BHARU 27 Julai - Pendekatan muqabalah antara UMNO dan Pas tidak semestinya membabitkan penyatuan dua parti tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, konsep muqabalah yang digunakan itu tidak semestinya menjadi platform buat kedua-dua parti untuk membincangkan hal penyatuan tetapi ia lebih kepada perbincangan masalah yang dihadapi negara kini.
"Apa yang penting muqabalah itu nanti bukan bermakna Pas masuk UMNO atau UMNO masuk Pas.
"Tidak semestinya kita tidur sebantal mimpi sama, jika bersatu pun masih berlaku perbezaan pendapat, lebih baik lupakan saja.
"Jadi biarlah kita berada di dalam dua parti berbeza tetapi mempunyai persamaan dalam wadah perjuangan terutama sekali dalam hal-hal berkaitan kepentingan agama dan perpaduan bangsa Melayu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Darul Quran Ke-17 di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam yang mengesyorkan supaya diwujudkan satu parti baru yang menggabungkan semua orang Melayu agar parti berkenaan boleh diterima ahli UMNO dan Pas.
Menurut Ahmad Zahid, selain bidang politik, muqabalah juga dilihat berkesan sekiranya turut dipraktikkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain dengan perjuangan yang sama.
Dalam pada itu, beliau menggesa semua pihak untuk tidak hanya melihat pendekatan muqabalah atau muzakarah dari aspek politik semata-mata, tetapi harus diperluaskan kepada aspek lain untuk tujuan yang positif.
"Jangan menyempitkan ia, pendekatan sebegini perlu diperluaskan khasnya bagi aspek penyatuan, perkongsian pentadbiran agama Islam, aktiviti dakwah dan dalam hal mengekang gejala sosial di kalangan umat islam di negara ini," katanya.
-Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment