HARAMNYA MELAKNAT SESEORANG DAN BINATANG
Hadis-Hadis Yang Berkaitan,.
Daripada Abu Zaid iaitu Thabit bin al-Dhohhak r.a. (beliau adalah ahli Baia’tul Ridhwan) katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang bersumpah dengan sumpahan selain agama Islam dengan dusta dan sengaja (seperti dia berkata: “kalau aku melakukan begini-begini, maka aku akan jadi Yahudi atau Nasrani”), maka dia adalah seperti yang dia ucapkan (sumpahnya itu). Sesiapa yang membunuh dirinya dengan sesuatu, dia akan diazab dengan perkara tersebut pada hari kiamat. Dan tidaklah ada nazar ke atas seseorang dalam perkara yang tidak dimilikinya. Melaknat orang yang beriman pula samalah seperti membunuhnya.
1) Islam memelihara penganutnya dari melaknat sesama sendiri.
2) Dosa melaknat adalah sepertimana membunuh
3) Hendaklah memelihara lidah dan tuturkata kita supaya terpelihara .
Besarnya dosa melaknat orang Islam dan ia diumpamakan sepeti membunuh.
Abu Hurairah r.a., sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda: Tidaklah sepatutnya bagi seorang yang benar (baik) itu untuk jadi seorang yang suka melaknat.(Hadis riwayat Muslim)
Pengajaran Daripada Hadis
1. Orang yang baik sifatnya tidak akan suka melaknat orang lain.2. Orang yang suka melaknat orang lain bukanlah orang yang baik dan jujur.
DaripadaAbu al-Darda’ r.a. katanya, Sabda Rasulullah s.a.w.: Orang yang suka melaknat itu tidak akan menjadi pemberi syafaat (pertolongan) dan syuhada pada hari kiamat.(Hadis riwayat Muslim)
Pengajaran Daripada Hadis1. Orang yang suka melaknat adalah orang yang fasik dan tidak akan diterima penyaksiannya dan syafaatnya di akhirat.2. Orang yang suka melaknati orang lain bukan sahaja akan dibenci di dunia, bahkan juga akan rugi di akhirat nanti.
Daripada Samurah bin Jundab r.a. katanya: Sabda Rasulullah s.a.w.: Janganlah kamu saling laknat-melaknati dengan laknat Allah dan jangan juga dengan kemarahanNya dan nerakaNya.(Hadis riwayat Abu Dawuud dan Tirmizi) Larangan daripada saling berkata laknat Allah (ke atasmu), kemurkaan Allah dan neraka Allah (kepadamu). Ini kerana semua perkara tadi adalah sangat besar keburukannya.
Daripada Ibnu Mas’ud r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Bukanlah seorang mukmin orang yang suka mencela, suka melaknat dan yang keji (samada perkataannya atau perbuatannya) dan yang kotor mulutnya (sekalipun perkataanya itu benar).(Hadis riwayat Tirmizi)
Pengajaran Daripada Hadis
1. Celaan kepada sifat-sifat ini kerana ia boleh mengurangkan keimanan dan orang mukmin yang sejati tidak akan memiliki sifat-sifat ini .2. Orang yang beriman akan menjauhkan percakapan kotor sekalipun perkara itu adalah benar, bahkan mereka seharusnya mencari perkataan yang sesuai dan bersopan.
Daripada Abu al-Darda’ r.a. katanya, sabda Rasulullah s.a.w.: Sesungguhnya seorang hamba itu apabila dia melaknat sesuatu, laknatan itu akan naik ke langit dan ditutup pintu-pintu langit untuk menghalangnya masuk. Kemudian ia akan turun ke bumi dan ditutup pintu-pintu bumi unuk menghalangnya masuk. Kemudian ia akan ke kanan dan ke kiri. Dan apabila ia tiada tempat untuk dimasuki maka ia akan kembali kepada perkara yang dilaknat itu, jika yang dilaknat itu berhak mendapatnya dan jika tidak maka ia akan kembali kepada orang yang mengucapkannya. Hadis riwayat Abu Dawuud.Pengajaran Daripada Hadis1. Laknat dan keburukannya akan kembali kepada si pengata jika yang dilaknat itu tidak berhak menerimanya.2. Adanya juga golongan yang berhak dilaknat dan menerimanya.
Daripada I’mran bin al-Husain r.a. katanya, ketika Rasulullah s.a.w. berada dalam suatu musafirnya, ada seorang wanita (golongan) Ansar menunggang untanya dan dia tidak mampu mengawalnya (untanya) lalu dia melaknati unta itu. Bila sahaja Rasulullah s.a.w.mendengar laknatan itu baginda bersabda: Ambillah barang-barang yang ada di atas unta itu dan biarkanlah ia, kerana sesungguhnya ia sudah dilaknat. Berkata Imran: Seolah-olah saya masih melihat sekarang ini unta itu berjalan di (kawasan) orang ramai dan tidak ada seorang pun yang mengendahkannya.Hadis riwayat Muslim.
Pengajaran Daripada Hadis
1. Orang Islam dilatih supaya menjauhi perbuatan laknat-melaknati sehinggakan dilarang juga melaknat binatang-binatang.
Daripada Abu Barzah (Nadhlah bin U’baid al-Aslamiyy) r.a.katanya, suatu ketika di mana seorang pemudi menunggang unta dan di atasnya (unta) ada beberapa barangan orang ramai. Tiba-tiba dia melihat Rasulullah s.a.w. (dan para sahabat baginda), dan (jalan) di bukit itu agak sempit dengan sebab (kehadiran) mereka (Nabi s.a.w. dan para sahabat baginda).
Gadis itu berkata: Hal! (perkataan untuk menghalau unta). Ya Allah laknatilah unta ini. Lalu Nabi s.a.w. bersabda: “Janganlah ada bersama kita seekor unta yang kena laknat”.(Hadis riwayat Muslim)
Pengajaran Daripada HadisBerkata Imam Nawawi: Ketahuilah! Sesungguhnya hadis ini telah menjadi kemusykilan maknanya (oleh sebahagian manusia) dan yang sebenarnya tiada kemusykilan pada makna hadis ini. Ini kerana hadis ini bukanlah larangan untuk menjual, menyembelih dan menunggang unta itu asalkan tidak bersama Nabi s.a.w.. Bahkan semua perbuatan itu diharuskan dan tiada larangan, melainkan (larangan hanyalah) menunggang unta itu bersama Nabi s.a.w.. Ini kerana semua perbuatan tadi adalah harus hukumnya (pada asal) dan ditegah sebahagiannya (menunggang unta itu bersama Nabi s.a.w.) dan yang lain kekal hukumnya seperti asalnya (iaitu harus). Dan Allah sahaja Yang Maha Mengetahui.
Haram Memaki Muslim Tanpa Hak
Ayat-Ayat Suci Al-Qur’anul Karim Yang Berkaitan
Firman Allah Taala: Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mukmin dan mukminat (perempuan yang beriman) tanpa kesalahan yang mereka lakukan, maka sesungguhnya mereka telah memikul pembohongan dan dosa yang nyata.[ Surah al-Ahzab ayat 58 ]Hadis-Hadis Yang Berkaitan
Daripada Ibnu Mas’ud r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Memaki hamun orang Islam itu fasik (keluar daripada ketaatan kepada Allah) dan membunuhnya pula adalah kufur.Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.Pengajaran Daripada Hadis1. Pada setengah naskhah “memaki hamun orang Islam itu seperti membunuhnya”, dan ini juga adalah hadis sohih seperti hadis di atas yang juga diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim.
2. Memaki hamun muslim adalah berdosa dan haram sebagaimana haramnya membunuh muslim.
3. Mencela dan membunuh muslim adalah kufur jika dihalalkannya.4. Orang yang mencela dan membunuh muslim adalah orang yang kufur nikmat dan tidak menunaikan hak persaudaraan seIslam.
Daripada Abi Zar r.a. bahawasanya beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidaklah seorang lelaki yang melontarkan kepada seorang yang lain (dengan kata-kata) fasik atau kufur melainkan perkataan tadi akan kembali kepadanya jikalau yang dikatakan itu bukanlah (bersifat) demikian”.Hadis riwayat Bukhari.
Pengajaran Daripada Hadis
1. Kita tidak boleh sewenang-wenang menuduh seseorang dengan fasik atau kufur.2. Kefasikan atau kekufuran itu akan kembali kepada si pengata jika orang yang dikatakan itu tidaklah bersifat demikian.
3. Memfasikkan seorang mukmin yang baik akan menyebabkan kefasikan dan mengkafirkan orang yang beriman pula bukanlah sikap orang Islam yang sejati.
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Apa yang dikatakan oleh dua orang yang saling memaki hamun itu (daripada dosa dsbg.) dikenakan ke atas orang yang memulakan makian itu, melainkan jika yang dizalimi (yang dimaki) itu melampaui (batas dengan membalasnya melebihi daripada kezaliman tadi).Hadis riwayat Muslim.
Pengajaran Daripada Hadis
1. Harus membalas cacian dengan cacian jika tidak melebihi kadar cacian yang terkenanya, tetapi bersabar dan memaafkannya adalah lebih baik. Dan orang yang mampu berbuat demikian adalah orang yang mendapat limpahan kurniaan Allah SWT.
2. Dosa makian antara dua orang yang berbalah itu akan kembali kepada yang memulakan makian itu melainkan jika yang kedua itu melebihi kadar membalas, bahkan menajamkan lagi makiannya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment